
PENGGUNAAN pewangi dan minyak pati (essential oil) yang semakin meluas dalam kalangan ibu bapa bagi mewujudkan suasana nyaman di rumah kini menimbulkan kebimbangan terhadap kesihatan kanak-kanak.
Lebih merisaukan, tabiat segelintir ibu bapa Gen Z kini yang gemar menjadikan minyak itu sebagai alternatif merawat selesema si kecil dilihat menjadi kebiasaan kebelakangan ini.
Mencetuskan perbualan hangat di laman sosial, seorang warga maya mempersoalkan isu berbangkit yang menurutnya boleh menjejaskan tumbesaran kanak-kanak ataupun remaja yang belum baligh.
BACA LAGI: Diberi penghormatan kedutaan UAE, gadis Nepal diiktiraf miliki tulisan tangan tercantik dunia
Jelas @hashi.nh, penggunaan minyak pati dalam kalangan kanak-kanak akan menjejaskan hormon mereka apabila meningkat dewasa kelak.
"Ada juga ke mak yang semburkan pewangi dekat anak yang belum baligh, untuk yang belum tahu minyak wangi, minyak pati boleh ganggu hormon mereka.
"Contohnya boleh buat anak terbantut, anak datang period awal dari usia sepatutnya dan banyak lagi, ibu bapa tolong peka bab ini," ujarnya di laman Threads pada Jumaat.
Dalam pada itu, kajian penyelidik Amerika Syarikat (AS) membuktikan hal itu sememangnya memberikan kesan kepada tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak.
Bahan kimia yang terkandung dalam minyak pati boleh meningkatkan hormon estrogen dan testosteron pada kanak-kanak lelaki serta perempuan.
Penggunaan minyak itu dalam produk seharian seperti losyen pelembab, pewangi dan krim muka boleh berperanan sebagai agen yang boleh mengubah susunan hormon dan menimbulkan masalah.
Menurut J. Tyler Ramsey dari Institut Sains Kesihatan Persekitaran Kebangsaan (NIEHS) di North Carolina, AS, kebanyakan minyak ini yang secara amnya dianggap selamat mengakibatkan perkembangan payudara pada lelaki dipanggil ginekomastia (gynaecomastia).
Biarpun kes sedemikian jarang berlaku, namun kandungan bahan kimia dimiliki berisiko tinggi meningkatkan tahap estrogen dan mengurangkan tahap testosteron dalam pelbagai peringkat usia.
Bahkan, minyak pati seperti lavender dan tea tree, yang sering dianggap sebagai alternatif semula jadi juga tidak terkecuali daripada risiko.
Segelintir ibu bapa menjadikan minyak pati sebagai alternatif merawat selesema si kecil. — Gambar hiasan
Kajian menunjukkan sesetengah minyak pati boleh mencetuskan reaksi alahan, gangguan pernafasan dan ketidakseimbangan hormon terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.
Sehubungan itu, ibu bapa dinasihatkan agar lebih berhati-hati dalam memilih produk wangian rumah atau penjagaan diri yang digunakan berhampiran dengan bayi dan kanak-kanak.
Pengudaraan yang baik dan penggunaan bahan semula jadi tanpa bahan kimia tambahan disarankan sebagai langkah lebih selamat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram