
KETAKUTAN adalah tindak balas semula jadi manusia untuk melindungi diri daripada bahaya.
Namun, apabila ketakutan itu terlalu membebankan, ia boleh melumpuhkan emosi dan perkembangan terutama dalam kalangan kanak-kanak dan remaja sekarang.
Menurut pakar psikologi, Elisabeth Raffauf, kanak-kanak zaman ini berdepan tekanan jauh lebih berat berbanding generasi terdahulu.
Ketakutan terhadap peperangan, perubahan iklim, tekanan akademik serta kebimbangan berkaitan identiti dan keselamatan diri kini menjadi sebahagian daripada kehidupan harian mereka.
"Mereka memikul kebimbangan orang dewasa iaitu ketakutan terhadap perang, perubahan iklim, risiko pengusiran dan keterasingan sosial," jelas Raffauf.
Ibu bapa perlu menjadi pendengar yang baik untuk mengetahui masalah dihadapi anak-anak. — Gambar hiasan
Salah satu ketakutan paling ketara dalam kalangan kanak-kanak adalah tekanan terhadap pencapaian akademik.
Ramai remaja mengalami debaran, panik dan palpitasi setiap kali menghadapi peperiksaan atau tugasan sekolah.
“Apabila ditanya sama ada mereka pernah mengalami panik, hampir semua mengaitkannya dengan sekolah. Mereka alami tekanan emosi yang mendalam,” ujar Raffauf lagi.
Selain akademik, ramai kanak-kanak turut dibelenggu ketakutan terhadap kesunyian, kegagalan serta perasaan terperangkap dalam dunia digital yang sering memaparkan standard kehidupan yang sukar dicapai.
Ketakutan yang berpanjangan ini, jika tidak ditangani, boleh menjejaskan kesejahteraan mental mereka secara perlahan-lahan tanpa ibu bapa sedar.
Ibu bapa perlu peka terhadap tanda-tanda awal seperti anak menjadi murung, kurang selera makan, sukar tidur atau menarik diri daripada aktiviti sosial.
Menurut Raffauf, perubahan itu perlu diambil serius dan bukan dianggap sebagai ‘perangai biasa remaja’.
Jika ini berlaku, ibu bapa disaran membuka ruang komunikasi secara lembut dan tidak menghakimi.
Soalan ringkas seperti 'Ibu perasan kamu dah lama tak jumpa kawan. Kamu okay?' boleh menjadi permulaan kepada perbualan yang lebih jujur dan bermakna.
Perbualan mengenai ketakutan tidak semestinya berlaku dalam suasana formal atau tegang.
Raffauf mencadangkan agar ibu bapa berbual sambil melakukan aktiviti bersama seperti melukis, membakar kek atau berjalan santai.
"Apabila tubuh sedang relaks, hati juga lebih terbuka," katanya.
Ibu bapa bukan sahaja berperanan untuk menenangkan anak, malah mereka perlu terlebih dahulu mengurus emosi sendiri.
Berbincang dengan pasangan atau rakan-rakan untuk mendapatkan sokongan emosi amat digalakkan.
"Anak-anak boleh tahu bahawa ibu atau ayah juga ada rasa takut, tapi jangan jadikan mereka tempat untuk melepaskan beban,” tegas Raffauf.
Sukar untuk membezakan antara ketakutan biasa dengan kebimbangan yang sudah menjadi gangguan.
Raffauf menegaskan, istilah ‘gangguan’ kadangkala tidak adil digunakan kerana ia mungkin sekadar reaksi terhadap persekitaran yang tidak sihat.
Namun, jika ketakutan itu mula menjejaskan pembelajaran, tidur atau hubungan sosial anak, maka tiba masanya untuk mendapatkan bantuan profesional.
Akhirnya, asas kepada kesejahteraan emosi anak adalah rasa selamat, dipercayai dan dihormati.
Ibu bapa perlu mengiktiraf semua perasaan anak termasuk ketakutan dan kesedihan serta membina keyakinan dalam diri anak bahawa mereka tidak keseorangan.
"Jika kita mahu anak kita berani menghadapi dunia, kita perlu menjadi tempat yang selamat untuk mereka kembali," ujar Raffauf. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram