
KETIKA ramai anak muda memilih menyambut ulang tahun kelahiran dengan majlis meriah bersama keluarga dan rakan-rakan, Chloe Cherng, 21, mengambil pendekatan jauh lebih bermakna.
Sempena ulang tahunnya yang ke-21, Chloe menganjurkan sebuah pameran bunga bertemakan kesihatan mental bertajuk Bloom and Heal yang berlangsung selama seminggu bermula 14 hingga 20 April di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Pameran itu bukan sekadar pameran seni gubahan bunga, tetapi juga platform kesedaran awam yang menyentuh isu-isu kesihatan mental dalam kalangan belia.
BACA LAGI: Letih dengar masalah orang, belajar katakan tidak! 4 cara boleh dilakukan demi kesihatan mental
BACA LAGI: Stres di tempat kerja? Berkomunikasi antara 4 cara terbaik jaga kesihatan mental
“Melangkah ke usia 21 bukan sekadar tentang umur, ia tentang tujuan hidup.
“Saya mahu hari lahir saya membawa makna yang lebih besar, bukan sekadar sambutan,” katanya.
Pameran tersebut menampilkan instalasi bunga yang memukau dan sebuah ‘dinding cerita’ membolehkan pengunjung dan Chloe sendiri berkongsi kisah trauma dan perjuangan peribadi, khususnya akibat buli siber dan masalah kesihatan mental.
Pameran tersebut menampilkan instalasi bunga yang memukau dan sebuah ‘dinding cerita’.
Buli siber
Chloe bukanlah nama asing dalam dunia gubahan tempatan. Minatnya bermula seawal usia 15 tahun ketika menyertai kursus reka bentuk bunga semasa bercuti di Taiwan.
Sekembalinya ke tanah air, beliau menubuhkan perniagaan dalam talian Floristy15 dari bilik tidur, yang kemudiannya berkembang kepada penubuhan akademi floristry dan Association of Malaysia Floral Design (AMFD).
MFD merupakan pertubuhan bukan keuntungan yang memberi latihan dan peluang kepada komuniti terpinggir.
Namun kejayaannya bukan datang tanpa dugaan. Sebagai usahawan muda, Chloe pernah menjadi sasaran buli siber termasuk mesej kebencian dan akaun palsu yang sengaja diwujudkan untuk menjatuhkan dirinya.
“Saya terima banyak mesej berbaur kasar, terutamanya daripada pesaing. Ketika itu saya masih remaja dan rasa sangat terkesan.
“Nasib baik ibu beri nasihat supaya tidak membalas dan fokus pada perkara penting,” luahnya.
Gangguan itu berterusan selama beberapa tahun, menyebabkan Chloe akhirnya memilih untuk bersuara demi diri dan belia lain yang mengalami nasib serupa.
Pameran tersebut dibiayai sendiri oleh Chloe, namun beliau menerima tajaan bagi lokasi dan hadiah cabutan bertuah.
Malaysia Book of Records
Langkah beraninya itu membuahkan hasil apabila beliau mencipta sejarah sebagai penganjur pameran bunga pertama di Malaysia yang bertemakan kesihatan mental, sekali gus melayakkannya tersenarai dalam Malaysia Book of Records.
“Pencapaian tersebut membanggakan, tetapi bagi saya ganjaran sebenar ialah dapat mewujudkan ruang selamat untuk orang ramai berkongsi dan rasa didengari,” katanya.
Pameran itu juga dibiayai sepenuhnya oleh Chloe, dengan sokongan penaja bagi lokasi dan hadiah cabutan bertuah.
“Ibu saya, yang juga usahawan pada mulanya terkejut sebab saya tidak mendapat apa-apa keuntungan daripada pameran ini.
"Namun saya anggap ia cara untuk memberi semula kepada masyarakat,” tambahnya.
Pada usia 19 tahun, Chloe sudah menerbitkan buku pertamanya The Courage To Begin yang mengisahkan perjalanannya sebagai usahawan muda.
Buku itu menjadi inspirasi kepada pelajar dan belia lain untuk terus mengejar impian sambil tidak mengabaikan pelajaran.
Kini, selain mengurus perniagaan dan mengajar di akademi, Chloe sedang melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana dalam bidang psikologi dengan harapan untuk menjadi kaunselor profesional.
“Pembuli, sama ada dalam talian atau dunia nyata mahu kita rasa tidak berharga.
"Namun perlu ingat, orang yang berjaya tidak akan membuang masa menyerang orang lain. Mereka hanya fokus pada perkembangan diri,” ujarnya.
Chloe ingin memberi kembali, merenung diri dan mencetus perubahan sempena ulang tahun kelahirannya pada tahun ini.
Beliau turut menitipkan nasihat kepada belia yang berdepan cabaran sama.
“Kenali dan percayalah pada diri sendiri. Kata-kata orang hanya berkuasa jika kita beri kuasa itu kepada mereka,” tegas beliau.
Ditanya perancangan sambutan ulang tahun pada masa hadapan, Chloe berkata, beliau lebih mengambil pendekatan mengikut situasi bersesuaian dan merancang apabila tiba waktunya.
Yang pasti, ia akan kekal bermakna dan memberi impak positif.
Chloe membuktikan bahawa ulang tahun kelahiran bukan semata-mata detik diraikan, tetapi juga peluang untuk memberi kembali, merenung diri dan mencetus perubahan.
“Kalau ada peluang untuk lakukan sesuatu yang bermakna, kenapa tidak?” ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram