
GELAGAT bapa kepada pengacara terkenal, Awal Ashaari, mencuri perhatian selepas anak perempuannya berkongsi kisah lucu yang berlaku semasa membawa si ayah ke sebuah premis gunting rambut di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kejadian itu dikongsikan menerusi laman Instagram, Nurulhudaa Ashaari, pada Khamis.
Menurut beliau, bapanya yang menunggu giliran untuk menggunting rambut terpandang sebuah majalah berkonsepkan fesyen dan gaya hidup edisi lama bertarikh 2021, memaparkan wajah Awal dan isterinya yang juga pelakon tinggi lampai, Scha Alyahya, sebagai penghias muka hadapan.
BACA LAGI: Ayaaya debut Scha sebagai pereka, koleksi debut 'Hey June' dedikasi buat arwah ibu
“Abah tanya boleh ambil ke majalah ini? Saya cakap tak boleh, ini kedai punya.
"Abah cakap kalau tak boleh 'kerat' (gunting) saja cover ini, abah nak bawa balik cover saja," tulisnya di ruangan kapsyen.
Tergelak dengan reaksi itu, wanita tersebut memaklumkan terlebih dahulu tentang hal berkenaan kepada pemilik kedai.
Untung sahaja katanya, majalah itu sudah lama dan bukan bahan bacaan terkini di kedai berkenaan.
Selesai sahaja sesi menggunting rambut, bapanya terus mengambil majalah tersebut.
Ketika ingin membuat bayaran, wanita itu memberitahu pemilik kedai bahawa bapanya berminat untuk membawa pulang majalah tersebut.
"Pemilik kedai tanya, uncle kenapa nak majalah ini? Abah tunjuk muka Awal dan cakap my son.
"(Jawab pemilik kedai), wah anak awak sangat terkenal, tiada masalah awak boleh ambil.
"Seronok abah banyak kali cakap terima kasih. Nasib abah tak koyak muka depan majalah itu, hampir-hampir nak dikoyakkannya," selorohnya.
Perkongsian itu mengundang senyuman ramai yang tersentuh dengan reaksi jujur dan bangga seorang bapa terhadap kejayaan anaknya.
"Comel sangat keletah abah awak, saya akan buat perkara yang sama jika nampak mana-mana anak saya jadi penghias muka depan majalah," tulis jazzyazahari.
"Comel betul bapa awak," ujar aliahnajla. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram