
LIMA tahun pertama dalam kehidupan kanak-kanak memainkan peranan penting dalam mencegah obesiti di kemudian hari.
Menurut kajian yang dibentangkan pada Kongres Eropah di Malaga, Sepanyol baru-baru ini, indeks jisim badan (BMI) pada usia enam tahun berdepan risiko obesiti tinggi berbanding usia lain dalam fasa kanak-kanak.
Pakar dari Pusat Perubatan Universiti Erasmus, Belanda menggunakan data daripada kajian jangka panjang Generasi R, yang menjejak pertumbuhan ribuan kanak-kanak di Belanda pada usia dua, enam, 10, 14 dan 18 tahun.
BACA LAGI: Saksi pelancaran LIMA 25 dari udara, Ahirine kongsi pengalaman selaku media rasmi TLDM
BACA LAGI: Risiko minuman tenaga isotonik, golongan pesakit jantung berpotensi mati mengejut
Hasil kajian terhadap 3,528 kanak-kanak menunjukkan bahawa 32.3 peratus daripadanya mengalami berat badan berlebihan atau obesiti pada usia dua tahun.
Peratusan ini menurun kepada 22.3 peratus pada usia enam tahun, meningkat sedikit kepada 24.7 peratus (10 tahun) dan berkurang kepada 20.6 peratus (14 tahun).
Tambahnya, kebanyakan daripada mereka kekal dalam kategori berat badan berlebihan atau obesiti ketika berusia 18 tahun.
Kajian itu turut membuktikan bahawa setiap peningkatan satu unit dalam BMI pada usia enam tahun, mempunyai risiko dua kali ganda terhadap obesiti apabila menginjak umur 18 tahun.
Namun begitu, penyelidik turut menyatakan bahawa kanak-kanak dengan BMI tinggi yang berjaya mencapai berat badan sihat menjelang usia enam tahun tidak lagi berisiko tinggi untuk mengalami obesiti pada masa depan.
Graduan PhD Universiti Erasmus dan pelajar perubatan, Jasmin de Groot yang membentangkan penemuan itu turut menyampaikan pesanan umum berkaitan isu berbangkit.
"Kita perlu memahami proses tumbesaran kanak-kanak jika ingin membantu generasi akan datang membesar dengan lebih sihat dan memberi mereka peluang untuk hidup sihat.
"Penyelidikan kami membuktikan bahawa lima tahun pertama kehidupan adalah peluang terbaik untuk mencegah masalah obesiti dalam jangka masa panjang," katanya.
Jelasnya, kajian itu turut menekankan kepentingan pemantauan awal dan intervensi kesihatan semasa peringkat awal perkembangan kanak-kanak dalam usaha membendung peningkatan kadar obesiti global. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram