
SEMPENA Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA 25), pengunjung dari serata negara tidak melepaskan peluang menyaksikan himpunan aset pertahanan kebangsaan yang kini sedang hangat berlangsung di Langkawi, Kedah sehingga 24 Mei ini.
Bertemakan 'Innovate Today, Thrive Tomorrow', pertunjukan edisi ke-17 anjuran Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Global Exhibitions and Conferences Sdn Bhd (GEC) tersebut menarik minat penyertaan dari pelbagai negara apabila mencatat kehadiran 860 pempamer.
Kemeriahan acara itu dikongsikan oleh salah seorang selebriti popular tempatan, Ahirine Ahirudin, 28, yang bertugas selaku pasukan media rasmi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
BACA LAGI: Sah hamil, 6 langkah utama mommies wajib buat lepas lihat 'double line'
BACA LAGI: [VIDEO] Menyentuh hati, pegawai polis kongsi pengorbanan wanita rayu ikat jamin anak di mahkamah
Merupakan Pegawai Kadet Kanan Pasukan Simpanan Sukarela TLDM, bintang filem Remp-It 2 itu merupakan satu-satunya artis wanita tempatan yang berpeluang merasai pengalaman sebagai kru dan petugas sepanjang lima hari pameran itu berlangsung.
Paling mengujakan, Ahirine berpeluang menyaksikan upacara pembukaan LIMA 25 secara langsung dari awan dengan menaiki helikopter TLDM, AW139 sambil diiringi pasukan pertahanan negara demi membuat liputan pada acara tersebut.
Selain daripada pertunjukan aset pertahanan negara, Ahirine turut berkongsi tarikan pempamer yang menyertai acara LIMA 25 kali ini.
Pengunjung berpeluang menyaksikan sendiri keunikan kelengkapan senjata api dan pertahanan negara yang mungkin tidak pernah didedahkan kepada tatapan umum sebelum ini.
Biarpun bergelar wanita, ia tidak menghalang pengacara popular itu untuk terus berkhidmat kepada pasukan TLDM menerusi peranannya selaku media sepanjang pameran itu berlangsung.
Sekadar info, Ahirine cukup dikenali sebagai seorang wanita lasak yang amat meminati dunia permotoran dan sukan seni bela diri Muay Thai.
Menyimpan hasrat untuk beraksi di gelanggang Muay Thai secara profesional, wanita kelahiran Alor Gajah, Melaka itu baru-baru ini membuat aksi debutnya pada kejohanan Pro Muay Thai yang berlangsung di ibu negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram