Risiko minuman tenaga isotonik, golongan pesakit jantung berpotensi mati mengejut


  • Sihat
  • Khamis, 22 Mei 2025

Minuman tenaga boleh mendatangkan risiko kesihatan kepada golongan pesakit jantung. — Gambar hiasan

MINUMAN tenaga kini menjadi sebahagian daripada gaya hidup moden, terutamanya dalam kalangan remaja dan dewasa.

Industri minuman itu bernilai berbilion dolar dan merupakan antara makanan tambahan yang paling banyak digunakan selepas multivitamin. 

Namun, timbul pertikaian dalam kalangan pengguna yang mula meragui kesan pengambilan minuman isotonik tersebut terhadap kesihatan jika diambil dalam kuantiti banyak.

Berdasarkan kajian antarabangsa, minuman tenaga tidak dikawal selia oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) seperti vitamin atau ubat-ubatan lain.

BACA LAGI: [VIDEO] Menyentuh hati, pegawai polis kongsi pengorbanan wanita rayu ikat jamin anak di mahkamah

BACA LAGI: Saksi pelancaran LIMA 25 dari udara, Ahirine kongsi pengalaman selaku media rasmi TLDM

 

Kandungan bahan kimia yang mempengaruhi jantung

Kebanyakan minuman tenaga mengandungi bahan aktif seperti kafein, taurin dan guarana.

Bahan-bahan ini boleh mempengaruhi fungsi jantung termasuk sistem denyutan nadi dan keupayaan mengepam darah. 

Kesan itu boleh menyebabkan perubahan kadar denyutan jantung dan tekanan darah, serta mempengaruhi kestabilan sistem kardiovaskular seseorang individu.

Bagi mereka yang sihat, kesan ini mungkin tidak menimbulkan risiko besar namun, bagi yang mempunyai masalah jantung, terutamanya penyakit genetik, risikonya boleh menjadi serius bahkan membawa kepada kes kematian mengejut.

Risiko pesakit jantung

Sekitar satu daripada 200 pesakit jantung berisiko tinggi untuk mati akibat serangan jantung tiba-tiba.

Bagi mereka yang menghidap penyakit ini, pendedahan kepada bahan dalam minuman tenaga boleh mencetuskan krisis jantung yang berbahaya.

Malah, bagi golongan dewasa yang mengalami penyakit arteri koronari atau fungsi pam jantung lemah, bahan aktif dalam minuman tenaga boleh memburukkan keadaan kesihatan mereka.

Risiko jangka panjang dan potensi strok

Selain kesan terhadap jantung, pengambilan minuman tenaga dalam jangka masa panjang boleh meningkatkan risiko strok. 

Ini kerana bahan-bahan tersebut memberi kesan kepada cara saluran darah bertindak balas, termasuk mengetatkan pembuluh darah dan meningkatkan tekanan darah yang menjadi faktor utama penyumbang strok.

Peranan penjagaan kesihatan dan kesedaran diri

Kebiasaannya minuman tenaga tidak mendatangkan kesan terhadap kesihatan individu.

Namun, sangat penting untuk memaklumkan sebarang perubahan ataupun simptom dialami kepada pakar kesihatan bagi mendapatkan suplemen dan perubatan bersesuaian dengan isu kesihatan dihadapi.

Justeru, minuman tenaga mungkin kelihatan tidak berbahaya, tetapi dalam sesetengah kes terutamanya bagi mereka yang mempunyai kondisi kesihatan tertentu, ia boleh membawa risiko yang serius. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram