
BEKAS pelakon dan sosialit terkenal Hong Kong, Cathy Chui dilaporkan menerima hadiah mewah bernilai lebih HK$2 bilion (RM1.2 bilion) daripada bapa mentuanya, Lee Shau Kee, sebelum kematian tokoh hartanah itu pada 17 Mac lalu.
Merupakan satu-satunya menantu perempuan dalam keluarganya, Cathy yang berkahwin dengan Martin Lee Ka-shing, anak kepada pengasas Henderson Land Development itu telah menerima pelbagai aset dan hadiah termasuk:
- Dana pendidikan sebanyak HK$50 juta (RM30 juta)
- Sebidang tanah mewah bernilai HK$50 juta (RM30 juta)
- Wang tunai sebanyak HK$1 juta (RM600,000)
- Sebuah rumah agam mewah
Menurut laporan media antarabangsa, kesemua hadiah itu membuatkan dia digelar 'menantu ratus bilion' oleh media tempatan kerana kekayaan luar biasa yang diwarisi daripada keluarga mentuanya.
BACA LAGI: Panduan ibu hamil, ketahui 10 istilah perubatan dalam 'buku pink'
BACA LAGI: [VIDEO] Kongsi perjuangan ibu menyusu, Tya Arifin bawa stok susu badan terbang ke Malaysia
Daripada pelakon ke sosialit korporat
Dilahirkan di Sydney, Australia pada 1982, Cathy Chui yang juga dikenali sebagai Cathy Lee mula dikenali ramai menerusi karier lakonannya sebelum berkahwin dengan Martin Lee pada 2006.
Pada awalnya, Cathy dilabel warganet sebagai 'mesin bayi' selepas melahirkan empat anak berturut-turut antara 2007 hingga 2015.
Namun, persepsi itu berubah apabila dia mula memainkan peranan penting dalam urusan perniagaan keluarganya.
Peranan dalam empayar keluarga
Kini berusia 43 tahun, Cathy telah menjadi figura utama dalam keluarga Lee yang merupakan antara keluarga terkaya di Hong Kong.
Baru-baru ini, dia dilaporkan telah menjual beberapa hartanah yang dihadiahkan oleh arwah bapa mentuanya untuk mengumpul dana sebanyak HK$5 bilion (RM3 bilion) bagi projek pembangunan hartanah persaraan di United Kingdom.
Biarpun sibuk dengan kariernya, dia sentiasa memberi penekanan kepada pendidikan dan masa depan anak-anaknya dalam legasi perniagaan keluarga.
Anak perempuannya kini menuntut di Universiti Cambridge, manakala cahaya mata sulungnya telah menyertai empayar syarikatnya, Henderson Land.
Menariknya, Cathy juga telah melantik bapanya sendiri ke lembaga pengarah syarikat, menunjukkan pengaruh yang semakin besar dalam struktur korporat keluarga itu.
Kehidupan sosial dan dermawan
Di luar dunia perniagaan, Cathy kekal aktif dalam acara kebajikan dan korporat elit.
Walaupun jarang menonjol di media sosial, dia sering memainkan peranan sebagai pengerusi kehormat dan duta dalam pelbagai acara penting selain turut dikelilingi tokoh wanita berpengaruh Hong Kong.
Pada 2018, dia menerima pengiktirafan 'Anugerah Keberanian' atas sumbangannya dalam bidang hartanah, manakala media Tatler Asia menamakannya sebagai antara wanita paling berpengaruh di rantau Asia.
Perubahan Cathy daripada pelakon kepada ikon korporat dan sosialit elit membuktikan bahawa dia bukan sekadar menantu bilionair, tetapi juga seorang wanita berdikari yang semakin dikenali kerana kecekapannya dalam bisnes dan dedikasi terhadap keluarganya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram