
BAYANGAN yang sering kali diberikan kepada penghibur di atas pentas pastinya memiliki sosok sempurna, penuh keyakinan apabila di hadapan khalayak ramai.
Namun, siapa sangka realitinya tidak semudah itu terutama bagi Rozella Marie Mahjhrin, seorang pemuzik serta wakil penyokong bagi golongan dengan kelainan tubuh badan.
Dilahirkan dengan tanda lahir ketara di seluruh wajahnya, wanita berusia 41 tahun itu ternyata membesar dalam fasa yang penuh dengan cabaran bukan sekadar daripada aspek penampilan, malah menerima tekanan sosial dek berasa tidak mencapai standard kecantikan.
Tanda lahir merah di wajah Rozella menjadi keunikan pada dirinya. — Agensi
Rozella berkata, menempuhi zaman persekolahannya adalah paling mencabar kerana terpaksa menangkis pelbagai ejekan serta kata-kata negatif dilontarkan oleh kanak-kanak lain.
Anak kelahiran Sabah itu juga mendedah bahawa pernah mendapat gelaran strawberi atau 'two-face' (karakter penjahat dalam siri Batman) kerana wajahnya yang dipenuhi tompok merah.
Katanya, kata-kata itu mungkin dianggap sebagai jenaka, namun ia memberi kesan mendalam baginya sehingga sekarang.
"Satu-satunya sebab saya tidak menyukai kulit saya adalah kerana saya diberitahu bahawa ia bukan original dan tidak normal.
"Ketika saya berumur 11 tahun, seseorang pernah mencadangkan rawatan laser.
"Ibu bapa saya juga mencari pelbagai rawatan termasuk vitamin dan suntikan pemutih kerana mereka fikir cara itu boleh menghilangkan tanda lahir di wajah saya," kongsinya.
Muzik membangkitkan semula semangat Rozella. — Agensi
Muzik pemangkin semangat
Namun, seiring waktu berlalu, Rozella menemui kekuatan dan keberanian untuk bangkit semula meskipun pernah dihantui ketakutan.
Katanya, perjalanannya sebagai pemuzik sejak berusia 27 tahun menjadi titik perubahan besar dalam hidupnya.
Rozella berkata, dia juga kerap membuat persembahan nyanyian dan berkolaborasi dengan kumpulan seni dan teater tempatan sebelum berpindah ke Kuala Lumpur pada 2015.
"Semakin saya membuat persembahan, semakin saya selesa dengan diri sendiri.
"Bermula daripada itu, benih keyakinan tumbuh, membawanya bukan sahaja ke atas pentas, tetapi ke arah advokasi yang menyentuh ribuan hati.
"Saya dibuli tetapi saya diam dan muzik adalah satu-satunya sahabat yang sentiasa ada," ujarnya.
Lirik-lirik yang ditulis sejak kecil akhirnya menjadi suara yang membebaskannya, bukan sahaja dari trauma, tetapi juga ketakutan untuk menonjol.
Sebagai artis yang bergerak secara sendiri atau solo, Rozella lebih mengutamakan kejujuran dalam karya seninya.
Beliau juga menolak pendekatan komersial demi memastikan muzik yang dihasilkan benar-benar mewakili dirinya.
"Saya sentiasa tanya diri sendir, kenapa saya buat ini dan apa yang saya sanggup atau tidak sanggup kompromi.
"Kali pertama saya menulis lagu yang mementingkan sosial adalah untuk lakonan oleh badan bukan kerajaan (NGO) Green Leaf Theater House.
"Disebabkan mereka, saya terlibat dalam Walk for Autism pada 2014. Tanpa saya sedari, itulah permulaan platform True Complexion (TC) khusus buat komuniti yang mempunyai perbezaan fizikal, penyakit kronik dan sedang melawan kesihatan mental," jelasnya.
Platform True Complexion yang mengumpulkan suara-suara golongan dengan kelainan dan keunikan fizikal. — Agensi
Rutin harian
Kata Rozella, rutin pagi membantunya memulakan hari dengan tenang serta mengelakkannya daripada terus berfikir negatif.
"Saya gunakan formula 20/20/20 Robin Sharma untuk memastikan saya sentiasa fokus.
"Pada asasnya, jam pertama dalam hari saya dihabiskan untuk melakukan tiga perkara yang menyuburkan badan, minda dan jiwa saya.
"Sebanyak 20 minit dihabiskan untuk bersenam, menari, membaca buku atau mendengar audio atau menonton video di YouTube.
"Kemudian menamatkan 20 minit terakhir dengan sama ada meditasi, menulis jurnal atau mengisi ayat kesyukuran," katanya sambil menambah bahawa harinya diakhir dengan meditasi lebih lama untuk membantunya melepaskan segala perkara negatif atau mencabar yang berlaku. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram