
CADANGAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mengenai keperluan untuk mengkaji semula umur persaraan wajib di Malaysia menimbulkan perdebatan hangat dalam kalangan rakyat.
Untuk rekod, had umur persaraan wajib di Malaysia ketika ini adalah pada usia 60 tahun.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata, langkah meningkatkan had umur persaraan kepada 65 tahun itu wajar dipertimbangkan kerana di kebanyakan negara, usia 60 tahun masih dianggap muda.
BACA LAGI: Tubuh Naza Group pada usia 21 tahun, Allahyarham Nasimuddin kebanggaan Kuala Pilah
Malah, beliau turut memetik contoh bagaimana hakim di Malaysia apabila ada antaranya bersara pada umur 65 tahun.
Bagaimanapun, respons ditunjukkan warganet di media sosial rata-ratanya agak negatif.
Antara kebimbangan utama dilontarkan adalah mengenai peluang pekerjaan untuk anak muda dan tahap produktiviti pekerja.
Seorang pempengaruh media sosial dalam bidang kerjaya Nik Akmal Nik Othman turut menggariskan jangkaannya terhadap impak bakal berlaku sekiranya cadangan itu dilaksanakan.
Langkah meningkatkan had umur persaraan dikhuatiri menghadkan peluang pekerjaan baharu terhadap golongan muda. — Gambar hiasan
"Ramalan yang akan berlaku, pengangguran anak muda meningkat, produktiviti Malaysia kekal sama atau lebih merosot.
"Ini kerana orang veteran tidak ada skil yang relevan dengan teknologi. Jadi, budaya kerja akan masih terkebelakang.
"Kemudian, Malaysia akan berada dalam keadaan teruk dengan negara menuju ke arah negara tua kerana anak muda mengalami kesempitan kewangan," tulisnya di X.
Disebabkan itu, beliau turut berkongsi beberapa langkah perlu dilaksanakan sekiranya kerajaan tetap mahu menjalankan cadangan tersebut.
Antaranya adalah menghadkan lanjutan terbabit bagi jawatan tertentu dengan syarat ia dilakukan berdasarkan kontrak.
Beliau mencadangkan formula lanjutan mengikut tahun iaitu 2 tahun pertama, dua tahun tambahan dan satu lagi tahun tambahan atau 2+2+1.
"Kemudian perlu lalui ujian kesihatan, aptitude, upskilling. Jika lulus baru dilanjutkan usia pencen.
"Pungut juga data ratio pekerja setiap fasa umur mengikut tahap kemahiran dan jenis sektor.
"Seterusnya jangan berikan kenaikan gaji dan lakukan langkah peningkatan had umur persaraan ini secara berfasa.
Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad mengakui cadangan menaikkan usia pencen sememangnya satu cadangan bakal ditolak golongan muda kerana ia dijangka boleh menyekat atau melambaktan tempoh kenaikan pangkat dan gaji golongan tersebut.
Namun, beliau berkata, terdapat beberapa perkara perlu dipertimbangkan dalam mencari penyelesaian terhadap isu terbabit antaranya termasuk kadar jangka hayat dan simpanan persaraan rakyat Malaysia.
"Pertama, kadar jangka hayat lelaki dan wanita di Malaysia seingat saya ialah 72 tahun dan 74 tahun.
"Kedua, kadar simpanan hari tua rakyat Malaysia adalah rendah. Jumlah yang simpan tinggi tidak ramai dari segi peratusan. Siapa ada simpanan KWSP lebih RM150,000 kira tinggi dah.
"Sebelum Covid-19 dulu 64 peratus pencarum secara purata hanya ada kurang RM15,000 pada usia 50 tahun. Kemudian boleh keluar RM10,000. Baki semakin sedikit. Hidup masih panjang," tulisnya.
Tahap simpanan persaraan yang rendah turut memerlukan kepada penyelesaian dasar lebih menyeluruh. — Gambar hiasan
Noor Amin berkata, tempoh bersara awal juga bererti kumpulan yang masih bekerja mungkin perlu membayar cukai lebih tinggi bagi menampung kos perlu ditanggung negara untuk menjaga kebajikan masyarakat Malaysia yang semakin menua.
"Ini kerana dalam situasi masyarakat menua semakin besar, banyak kes kebajikan dan kesihatan yang perlu ditanggung kerajaan.
"Generasi muda hari ini mungkin mengecam cadangan menaikkan usia pencen kepada 65 tahun. Namun, bagi mereka yang berusia 40 tahun hari ini, hanya dalam tempoh 20 tahun lagi saja mereka pula akan termasuk dalam golongan pencen.
"Jika jangka hayat mereka 72 tahun, ada 12 tahun lagi kehidupan yang memerlukan cukup simpanan, pendapatan dan kesihatan.
"Masalah usia pencen dan persaraan bukan hanya isu orang tua. Tetapi ia isu bersama. Perlu dibincang secara rasional untuk mencari penyelesaian dasar yang wajar," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram