Mangsa keganasan rumah tangga, serangan seksual perlu berani, usah malu buat laporan, OSCC sedia bantu


  • Maya
  • Isnin, 19 Mei 2025

Masih ramai mangsa keganasan rumah tangga, penderaan atau serangan seksual yang keliru dan tidak tahu langkah patut diambil.

PERNAHKAH anda atau seseorang yang dikenali menjadi mangsa keganasan rumah tangga, penderaan atau serangan seksual?

Dalam situasi getir itu, tidak dinafikan kebanyakan mangsa keliru dan tidak tahu langkah seterusnya yang patut diambil.

Sehubungan itu, seorang doktor perubatan yang aktif menyebarkan maklumat kesedaran awam menerusi laman sosialnya berkongsi tentang kewujudan perkhidmatan khusus yang mungkin tidak ramai tahu iaitu Pusat Khidmat Krisis Bersepadu (OSCC).

BACA LAGI: Selangor rekod 813 kes keganasan rumah tangga dari Januari-Ogos 2024

BACA LAGI: Ibu tunggal mangsa keganasan rumah tangga bangkit bina hidup jadi usahawan makanan

Menurut beliau, OSCC ialah unit khas di bawah Jabatan Kecemasan di hospital kerajaan terpilih, khususnya hospital besar.

Malaysia merupakan antara negara yang mempunyai inisiatif penting itu, satu sistem sokongan yang jarang ditemui di negara lain.

Doktor tersebut memberitahu, OSCC dibuka kepada semua mangsa keganasan rumah tangga, penderaan kanak-kanak, rogol, liwat dan serangan seksual.

Privasi dan kerahsiaan mangsa bagi kes OSCC akan dijaga sepenuhnya. — OSCC Tawau

"Anda (mangsa) boleh datang terus ke Jabatan Kecemasan, dengan atau tanpa laporan polis.

"Sekiranya laporan polis telah dibuat, mangsa boleh hadir bersama pegawai penyiasat.

"Jika belum, laporan boleh dilakukan terus di hospital, lazimnya di pondok polis berhampiran unit kecemasan," tulisnya menerusi aplikasi Thread miliknya, dr.affixfm pada Ahad.

Jelas beliau, bagi mangsa berusia 18 tahun ke atas, kehadiran sendiri tanpa laporan polis masih diterima.

Namun, untuk proses pengumpulan bukti secara sah, borang khas daripada pihak polis diperlukan. Ia penting, terutama jika siasatan jenayah akan dijalankan.

Selain itu tegasnya, bagi kes rogol dan penderaan seksual, waktu kehadiran memainkan peranan besar dalam usaha mengumpul bukti.

"Untuk kes rogol dan penderaan kanak-kanak, jangka masa 72 jam pertama adalah waktu paling kritikal.

"Bagi kes liwat pula, dalam 120 jam. Namun, ini bukan satu peraturan ketat. Jangan melengah-lengahkan urusan sebab fikir dah lewat, datang sahaja.

"Mangsa juga diingatkan supaya tidak mandi atau menukar pakaian selepas kejadian agar bukti tidak terhapus.

"Tindakan segera ke balai polis atau Jabatan Kecemasan boleh menyelamatkan bukti penting," terangnya.

OSCC dibuka kepada semua mangsa keganasan rumah tangga, penderaan kanak-kanak, rogol, liwat dan serangan seksual.

Beliau menjelaskan, mangsa yang stabil dari segi fizikal akan terus dibawa ke bilik OSCC tanpa perlu menunggu giliran.

Privasi dan kerahsiaan akan dijaga sepenuhnya. Jika mangsa dalam keadaan kritikal seperti pengsan atau meracau, rawatan kecemasan akan diberikan terlebih dahulu.

Maklumnya lagi, rawatan di OSCC akan dikendalikan doktor kecemasan terlebih dahulu sebelum pasukan pakar lain seperti pakar sakit puan, pediatrik atau pakar bedah dipanggil.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga akan dihubungi mengikut keperluan, khususnya pada waktu siang.

"Meskipun kes kesihatan mental tidak dikendalikan secara langsung di bawah OSCC, pasukan psikiatri akan dihubungi bagi memberikan sokongan dan penilaian lanjut jika diperlukan," katanya.

Menurut doktor tersebut, beliau sendiri pernah mengendalikan kes keganasan rumah tangga melibatkan seorang ibu dan anak kecil, dengan satu NGO berjaya menyediakan rumah perlindungan untuk mereka pada malam kejadian.

Masyarakat diminta untuk memahami tekanan kerja yang ditanggung petugas kesihatan di Jabatan Kecemasan.

Akui beliau, ada kalanya, seorang pegawai perubatan perlu meluangkan masa berjam-jam menguruskan kes OSCC.

"Kekurangan tenaga kerja tidak seharusnya dijadikan alasan untuk memarahi petugas, sebaliknya disalurkan melalui saluran rasmi seperti KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) sekiranya ada cadangan atau aduan.

"Sama-sama sebarkan kesedaran tentang kewujudan OSCC. Malaysia telah menyediakan landasan, kini tiba giliran kita untuk menggunakannya," jelasnya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram