'Siapa pula jaga kami?', doktor kongsi surat terbuka seru kerajaan laksana 5 reformasi sektor kesihatan


  • Massa
  • Rabu, 21 Mei 2025

Petugas sektor kesihatan dan perubatan yang mendakwa dibebani tugas sehingga memberi tekanan emosi. — Gambar hiasan/Facebook

TEKANAN yang perlu ditanggung dalam kalangan pekerja sektor perubatan dan kesihatan di Malaysia dilihat semakin membimbangkan. 

Berdasarkan surat terbuka yang dimuat naik pengguna Facebook Dr. Ahmad Fadhzil Mohamad pada Rabu, ia mewakili suara bagi seluruh petugas kesihatan termasuk doktor, jururawat, penolong pegawai perubatan (MA), ahli farmasi dan seangkatan dengannya.

Surat tersebut juga menyuarakan tentang beban kerja yang dikatakan terlalu keterlaluan sehingga memberikan tekanan emosi dan ditambah pula dengan kurangnya pengiktirafan terhadap peranan mereka. 

BACA LAGI: [VIDEO] Lori muatan kayu balak hilang kawalan, rempuh gerai depan sekolah di Jerteh

BACA LAGI: [VIDEO] Pemandu Axia merah tersepit antara 2 lori mengaku tak bersalah lawan arus, dibenar ikat jamin RM6,000

Ia juga ditujukan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tindakan lanjut. 

"Tidak minta dilayan macam menteri, cukup dilayan macam manusia.

"Cuba bayangkan, kalau mak ayah kita kerja dari 7 pagi, berdiri, tukar lampin orang tua, lari ke X-ray, kena marah depan pesakit, ikut doktor-doktor buat round, kena buat laporan, balik lambat, anak di rumah makan mi segera.

"Agak-agak, boleh tahan ke hidup macam tu 30 tahun? Itulah kehidupan pekerja kesihatan di Malaysia hari ini," tulisnya. 

Dia pada masa sama mendedahkan realiti terpaksa dihadapi para petugas yang mungkin tidak dilihat oleh orang ramai.

Katanya, ada yang perlu bekerja 60 hingga 70 jam seminggu dan pulang ke rumah dua atau tiga kali seminggu. 

"Jururawat tak berhenti, tukar lampin, bersihkan darah dan urus emosi. MA t(pembantu perubatan) tolak pesakit 200 kilogram tanpa lif khas.

"Ahli farmasi semua kerja tanpa penghargaan," tambahnya. 

Justeru, doktor tersebut turut mencadangkan lima reformasi kesihatan dilaksanakan demi menjaga kesejahteraan pekerja.

Antaranya adalah dengan menubuhkan suruhanjaya khas barisan hadapan dan memberikan cuti Hari Kesihatan Mental automatik sebanyak dua kali setahun.

Pihak berwajib juga disarankan untuk melaksanakan dasar penyatuan keluarga penjawat awam, sistem waktu bekerja fleksibel, bekerja dari rumah bagi unit bukan kritikal serta hari barisan hadapan nasional yang diraikan dengan cara sesuai. 

"Nak jimat kos negara? Beri motivasi. Bila semangat kerja hidup, pesakit gembira, sistem stabil.

"Kami jaga negara waktu pandemik. Tetapi sekarang kami tanya, siapa pula jaga kami?.

"Kami bukan ancaman. Kami tulang belakang. Tulang belakang pun boleh patah kalau selalu dibebani. 

"Ini bukan rayuan, ini seruan reformasi," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram