Awasi bahaya najis burung merpati, punca alahan serius dan komplikasi paru-paru


  • Sihat
  • Khamis, 08 Mei 2025

Najis merpati boleh membahayakan kesihatan dan risiko sesak nafas individu. — Gambar hiasan

NAJIS burung merpati bukan sahaja kotor, malah boleh mengundang risiko kesihatan serius kepada individu.

Mengandungi bakteria dan kulat yang boleh menyebabkan alahan teruk, individu yang dicemari dengan najis haiwan tersebut berkemungkinan besar mengalami komplikasi paru-paru dan saluran pernafasan.  

Menurut pakar kesihatan, najis merpati yang basah mempunyai potensi jangkitan lebih tinggi berbanding yang sudah kering. 

BACA LAGI: Tepis dakwaan anak ramai susah berbelanja, Alif Satar rancang legasi keluarga sejak usia muda

BACA LAGI: Purata berjaya hamil cuma 70 peratus, ketahui faktor wanita gugur lepas jalani IVF

Namun, lambakan najis kering merpati terutamanya di bahagian bumbung kediaman boleh memberi kesan kepada pernafasan dan pencemaran udara pada penghuninya.

Najis merpati memiliki sejenis kuman yang boleh memberi kesan kepada sistem pernafasan dan alahan individu.

Cara mudah membersihkan najis merpati

1. Pakai peralatan perlindungan

- Gunakan sarung tangan kalis air untuk melindungi tangan daripada dijangkiti kuman.

- Jika najis terkumpul di kawasan luas atau dalam kediaman rumah, pakai topeng pernafasan (topeng FFP3) dan pakaian kalis habuk pakai buang.

2. Membersihkan najis 

- Gunakan kain ataupun tisu dapur untuk membersihkan najis yang masih lembut.

- Lap kawasan tersebut dengan kain lembap bagi memastikan semua sisa kotor dibersihkan.

3. Najis kering

Jangan sekali-kali mengikis najis kering kerana ia boleh mengeluarkan habuk berbahaya ke udara.

Lembutkan najis dengan larutan sabun terlebih dahulu sebelum membersihkannya dengan tisu basah.

Elakkan menghasilkan habuk semasa proses pembersihan bagi mengurangkan risiko penyebaran kuman berjangkit.

4. Bersihkan persekitaran

Pastikan kawasan sekeliling tidak kotor semasa proses pembersihan.

Sekiranya proses pembersihan dilakukan di dalam rumah, pastikan sistem dan ruang pengudaraan mencukupi agar kuman tidak terperangkap.

Risiko najis merpati

Pakar kesihatan menegaskan bahawa pendedahan kepada najis merpati, terutamanya dalam persekitaran yang kurang bersih boleh mengakibatkan:

1. Jangkitan paru-paru seperti histoplasmosis atau cryptococcosis.

2. Masalah saluran gastrousus akibat jangkitan bakteria.

3. Reaksi alahan yang teruk bagi individu sensitif.

Justeru, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati dan menggunakan peralatan pelindung yang sesuai semasa membersihkan najis merpati bagi mengelakkan risiko kesihatan tidak diingini.

Menjaga kebersihan kawasan kediaman daripada najis merpati bukan sahaja penting untuk kebersihan, bahkan sangat mustahak dari segi kesihatan. 

Dengan memahami risiko yang dibawa oleh najis merpati, nescaya masyarakat akan terlindung daripada sebarang jangkitan berbahaya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram