
DALAM kehidupan berumah tangga, pengorbanan seorang isteri menjadi tiang utama yang menyokong keharmonian mahligai dibina.
Biarpun pengorbanan insan hebat itu tidak dipaparkan secara terbuka, namun ia tetap menjadi nadi yang memastikan kesejahteraan keluarga sentiasa terpelihara.
Terkenal dengan sifat penyayang, pelakon dan pelawak popular Achey, 38, atau nama lengkapnya Mohd Nasir Hamzah baru-baru ini berkongsi kisah suka duka bersama isterinya sepanjang bergelar anak seni.
BACA LAGI: [VIDEO] Menyentuh hati, pegawai polis kongsi pengorbanan wanita rayu ikat jamin anak di mahkamah
Jelas bekas juara program realiti Maharaja Lawak Mega 2017 itu, pengorbanan isterinya,
Nor Hasanah Yahaya sama sekali tidak ternilai untuk dibandingkan dengan wang ringgit dan harta.
Detik paling sukar dihadapi adalah apabila isterinya menjalani pembedahan tiub fallopian yang terpaksa dibuang atas faktor komplikasi pada organ dalaman.
Achey dan isterinya, Nor Hasanah Yahaya mula mendirikan rumah tangga pada 2011.
Menyedari akan risiko dan kesan selepas kehilangan organ tersebut, Achey redha akan ketentuan ilahi selain amat mengagumi semangat juang dimiliki isterinya.
Isteri saya terpaksa jalani pembedahan potong tiub fallopian, bukan satu tapi kedua-duanya sebab satu dah tersumbat dan satu lagi bengkak, kalau tak buat segera boleh bahayakan nyawa dia.
"Saya pun dah redha, isteri saya pun minta maaf banyak kali sebab dia rasa tak dapat nak bagi zuriat tapi saya kata kita boleh cuba cara lain ada kaedah lain yang bagus.
"Lepas selesai pembedahan dia minta maaf lagi sebab pembedahan itu selama-lamanya tak akan boleh bersalin secara normal dah, cuma ada satu cara yang doktor boleh ambil telur tu untuk dibuat rawatan IVF itu sahaja," katanya menerusi satu siaran podcast.
Biarpun diuji dengan pelbagai rintangan dan dugaan rumah tangga, Achey tidak henti-henti menzahirkan penghargaan buat isteri tercintanya.
Mengimbau kembali kerelaan hati isterinya yang sanggup menggadai cincin perkahwinan satu ketik dahulu, kini pelantun suara Yang Terindah itu mahu menyediakan yang terbaik demi keselesaan isterinya.
"Kalau orang tanya kenapa saya manjakan isteri, sebab dia dah lalui macam-macam, yang tahu hanya kami berdua.
"Dia pernah gadai cincin kahwin, pernah jadi pencuci, semata-mata nak saya teruskan perjuangan dalam industri.
"Jadi, bila orang persoalkan kenapa isteri saya pakai barang kemas, itu adalah ganjaran atas semua jerih perih dilalui, dia percaya dengan suaminya, walau masa depan masa tu kabur," katanya.
Biarpun belum dianugerahkan cahaya mata, bahtera perkahwinan pasangan sejoli itu bertambah ceria selepas mengambil anak angkat pada 2018.
Berusia tujuh tahun, Tiara Zinnirah merupakan amanah ALLAH buat Achey dan isterinya dalam melayari bahtera perkahwinan yang lebih indah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram