PASANGAN pengantin dari Sandwell, West Midlands, England, Adam dan Amy Harper, meraikan cinta dengan cara begitu unik apabila mengadakan upacara pengesahan ikrar perkahwinan dalam air di kolam selaman Sandwell Aquatic Centre.
Pasangan berkenaan pertama kali bertemu secara kebetulan ketika menyelam skuba tiga tahun lalu dan memilih untuk memperingati detik bersejarah itu dengan kembali ke lokasi simbolik.
“Kami putuskan untuk sahkan janji di sini kerana kami bertemu di bawah air dan sangat meminati sukan ini.
“Ia bermula sebagai idea kecil, memang nampak agak gila namun selepas mengemukakan cadangan tersebut dalam mesyuarat kelab selam pada suatu malam, sambutannya amat positif,” kata pengantin lelaki, Adam Harper menerusi video yang dikongsikan di Instagram bbcnews.
BACA LAGI: Pilih tarikh unik 22.02.2022, 59 pengantin kahwin serentak
Upacara unik itu diadakan selepas majlis rasmi di pejabat pendaftaran perkahwinan di West Bromwich, yang dihadiri dua saksi.
Majlis dalam air pula menjadi ruang sambutan lebih santai bersama keluarga dan rakan-rakan rapat yang turut menyertai mereka dalam kostum selaman lengkap.
Sementara itu, pengantin perempuan, Amy Harper berkata, perkahwinan di bawah air menuntut persiapan rapi dan latihan khusus termasuk cara berjalan di 'lorong perkahwinan' tanpa berpijak di tanah.
Menurutnya, mereka perlu bersedia lebih awal bagi memastikan segalanya berjalan lancar walaupun dalam keadaan terapung.
“Saya dan bapa yang juga penyelam sudah berlatih kira-kira dua minggu untuk berjalan di 'lorong perkahwinan'.
"Namun, ia jauh lebih mencabar sebab kami terapung, tiada berat badan untuk menstabilkan pergerakan. Jadi, untuk hari sebenar kami terpaksa pakai pemberat supaya lebih stabil,” jelasnya.
Beliau dalam pada itu turut menyifatkan pengalaman tersebut sebagai sesuatu yang menyeronokkan dan penuh kenangan.
“Saya rasa sangat bertuah dapat buat sesuatu macam ini dan ada ramai kawan ‘gila-gila’ yang sanggup turun menyelam sekali dengan kami.
“Cuma sirip asyik tersangkut pada gaun dan saya juga hampir terjatuh beberapa kali! Namun ia memang sangat menyeronokkan,” katanya sambil ketawa.
Majlis perkahwinan tersebut memerlukan komunikasi kreatif disebabkan mereka tidak boleh bercakap seperti biasa.
Justeru, kedua-dua pengantin lelaki dan perempuan menggunakan kad isyarat dan isyarat tangan untuk berkomunikasi dan melafazkan I do ketika majlis berlangsung. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
