
PADA usia semuda sembilan tahun, Tori Dunlap sudah mula menjejakkan kaki ke dunia perniagaan dan kewangan.
Meskipun ketika itu beliau belum bergelar pakar kewangan terkenal, penulis buku terlaris New York Times dan pengacara audio siar (podcast) yang berjaya, langkah awalnya cukup mengagumkan.
Dengan bantuan bapanya, Dunlap menguruskan sebuah perniagaan mesin layan diri yang berkembang maju.
BACA LAGI: [VIDEO] DJ radio wanita sebak adik autisme iringi majlis perkahwinan
Bisnes itu menjadi asas kepada perjalanan karier luar biasanya pada hari ini.
“Saya belajar cara menguruskan perniagaan. Saya sudah menulis cek ketika berusia 10 tahun dan sudah memahami untung dan rugi,” katanya memetik laporan disiarkan secara eksklusif bersama Her Campus.
Bermula dari pengalaman awal tersebut, Dunlap kini menjadi suara utama dalam memperjuangkan hak kewangan wanita.
Pada usia 25 tahun, selepas berjaya menyimpan AS$100,000 (kira-kira RM400,000) pertama, beliau membuat keputusan meninggalkan dunia korporat dan menubuhkan jenamanya sendiri, Her First $100K.
Jenama itu bertujuan membantu wanita mencapai kebebasan kewangan menerusi program pembelajaran, alat bantuan kewangan dan kandungan digital seperti buku serta audio siar popularnya, berjudul Financial Feminist.
Graduan teater
Lebih menarik, Dunlap bukanlah graduan dalam bidang kewangan atau perniagaan.
Sebaliknya, beliau memiliki ijazah berganda dalam komunikasi organisasi dan teater. Ia kombinasi yang ternyata memberi kelebihan luar biasa dalam kerjayanya.
“Latar belakang saya dalam memahami bagaimana minda manusia berfungsi dan untuk berhubung dengan orang lain adalah kemahiran penting dalam dunia keusahawanan.
“Dengan latar belakang teater, saya juga belajar menghadapi penolakan, berimprovisasi, memasarkan diri dan menyampaikan cerita dengan berkesan.
"Semua ini banyak membantu dalam membina jenama serta komuniti saya,” ujarnya.
Dunlap menekankan hubungan rapat antara kesihatan kewangan dan aktivisme politik. — Agensi
Feminisme interseksional
Salah satu asas penting dalam falsafah perniagaan Dunlap ialah feminisme interseksional dan beliau menekankan hubungan rapat antara kesihatan kewangan dan aktivisme politik.
Menurutnya, situasi kewangan seseorang bukan semata-mata hasil keputusan individu, tetapi sangat dipengaruhi oleh sistem sosial yang menindas.
“Di Her First $100K, kami percaya hanya 20 peratus keadaan kewangan seseorang ditentukan oleh pilihan peribadi, manakala 80 peratus lagi berpunca daripada penindasan sistemik termasuk rasisme, seksisme, diskriminasi terhadap OKU (orang kurang upaya), homofobia, krisis hutang pelajar dan gaji minimum yang statik.
“Sangat penting untuk kita bukan sahaja menyedarinya, tetapi juga berusaha mengubah sistem tersebut,” tegas beliau.
Dunlap turut menghasilkan buku berjudul Financial Feminist. — Agensi
Pencapaian
Antara pencapaian Dunlap termasuklah disenaraikan dalam carta buku terlaris New York Times, dijemput menjadi penceramah di pelbagai platform antarabangsa dan berpeluang bertemu figura-figura yang menjadi inspirasinya sebelum ini.
Namun begitu, Dunlap menganggap impak sosial terhadap kehidupan wanita sebagai pencapaian paling membanggakan.
“Saya berpeluang mengubah kehidupan wanita setiap hari. Kami memberi pekerjaan, membina keyakinan dan menggalakkan perbincangan penting tentang wang.
“Hampir setiap lima minit saya menerima mesej daripada wanita yang menyatakan bahawa mereka berjaya menyimpan wang, melangsaikan hutang pelajar atau keluar daripada perkahwinan toksik kerana kini berkemampuan dan yakin dengan diri sendiri,” ujarnya.
Sebagai figura inspirasi kepada ramai wanita muda, Dunlap sering diminta memberi nasihat.
Antara pesanannya yang paling diingati ialah supaya bertenang dan tidak terlalu memikirkan masa depan.
“Saya sentiasa bercita-cita tinggi sejak kecil, tetapi terlalu risau tentang langkah seterusnya sehingga terlupa untuk benar-benar hadir dalam saat ini,” katanya.
Beliau dalam pada itu turut menyeru wanita muda untuk menghargai perjalanan mereka sekarang, walaupun tampak perlahan.
“Mungkin ia bukan versi kehidupan yang paling indah dan mungkin anda rasa tidak bergerak, tetapi sebenarnya, anda sedang melangkah ke hadapan,” tambahnya.
Dunlap kini terus menjadi simbol keberanian wanita dalam bidang kewangan, dengan misi menjadikan pendidikan kewangan lebih inklusif dan bebas stigma, yakni satu langkah besar ke arah kebebasan ekonomi untuk semua. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram