Kalau ingin rumah tangga kekal tenang sampai tua, praktik 10 cara komunikasi ini


  • Maya
  • Khamis, 15 Mei 2025

Banyak adab berkomunikasi yang boleh diterapkan buat setiap pasangan.

KOMUNIKASI antara suami dan isteri bukan sekadar pertukaran kata, tetapi cerminan kasih sayang, rasa hormat dan keinginan untuk membina rumah tangga yang harmoni. 

Tanpa adab dan hikmah dalam berbahasa, komunikasi boleh menjadi racun yang perlahan-lahan meretakkan hubungan.

Seorang pengguna media sosial, Al Faqir Hasan Al-Idrus berkongsi 10 adab komunikasi yang wajar diamalkan pasangan suami isteri demi mengekalkan ketenangan dalam rumah tangga. 

BACA LAGI: [VIDEO] Terima 10,000 unit saham, rumah sebagai mas kahwin, wanita Indonesia kahwini jejaka mat salih buat ramai cemburu

BACA LAGI: [VIDEO] 'Sejuk perut ibu mengandung', warganet puji anak kecil bijak berselawat, sifatkan ibu bapa lain wajar contohi

Pasangan harus kekal lembut sewaktu bercakap antara satu sama lain.

Perkongsian itu menjadi perhatian ramai kerana menyentuh realiti kehidupan seharian dengan pendekatan yang lembut dan praktikal.

10 panduan komunikasi boleh diamalkan:

1. Lemah lembut dalam nada suara

Nada suara yang tinggi bukan bukti ketegasan, malah sering kali mencerminkan kurangnya kesabaran. 

Dalam situasi tegang sekalipun, pasangan harus kekal lembut dalam percakapan. 

Contohnya, daripada berkata, "Awak ni degil sangat!", maka lebih baik sebut, "Sayang, boleh kita bincang elok-elok?".

2. Kawal intonasi dan mimik wajah

Bahasa tubuh kadangkala lebih tajam daripada kata-kata.

Wajah masam atau mata menjeling boleh melukakan perasaan walau kata-kata kita nampak biasa.

Ucapan seperti, "Saya okay je", tetapi disertai dengan ekspresi wajah yang tegang sering kali mencetuskan salah faham.

3. Hindari sindiran, kata berkias

Sindiran bukanlah cara yang matang untuk menegur pasangan.

Ia boleh menjatuhkan maruah, terutama di hadapan orang lain.

Gantikan sindiran dengan permintaan yang jelas dan penuh hormat seperti, "Saya perlukan bantuan awak, boleh tolong angkat barang ini?".

Memberi perhatian sepenuhnya pada pasangan penting sewaktu berkomunikasi.

4. Dengar sepenuh hati

Mendengar bukan hanya menunggu giliran untuk membalas, tetapi ia tentang memberi tumpuan sepenuhnya kepada perbualan bersama pasangan. 

Letakkan telefon, berhenti seketika dari aktiviti lain dan beri perhatian kepada perkara yang pasangan ingin sampaikan boleh menjadi bentuk penghargaan yang besar.

5. Menegur dengan hikmah, bukan amarah

Teguran yang diberi ketika marah sering kali mencederakan seseorang. 

Pilih waktu yang sesuai untuk menegur dan mengunakan bahasa betul.

Sebagai contoh, ubah ayat "Awak selalu lambat!" kepada "Kalau kita bersiap awal, mungkin kita lebih tenang."

6. Pilih masa tepat

Kebenaran tidak akan diperoleh jika disampaikan pada waktu yang salah. 

Elakkan perbincangan berat ketika pasangan letih, lapar atau tertekan tetapi tunggu masa yang lebih sesuai agar kedua-dua pihak lebih terbuka.

7. Jangan ungkit kisah lama

Mengungkit kesalahan masa silam hanya membuka luka lama dan menyukarkan proses penyelesaian. 

Fokus kepada isu semasa dan hindari kenyataan seperti, "Macam dulu tulah...", namun sebaliknya, katakan ayat, "Saya mahu kita selesaikan yang ini dengan baik."

8. Ucapkan kata-kata menyejukkan jiwa

Ucapan yang baik dianggap sebagai pelaburan jangka panjang dalam hubungan. 

Contohnya, gunakan ayat, "Terima kasih masakkan lauk sedap hari ni," atau "Maaf kalau saya terkasar tadi."

9. Doakan pasangan dalam diam

Doa adalah bentuk komunikasi yang paling ikhlas buat pasangan. 

Memohon kepada ALLAH agar pasangan menjadi lebih penyayang dan tenang boleh membantu memperbaiki hubungan dari dalam. 

Doa ringkas seperti, "Ya ALLAH, lembutkan hati isteriku..." sangat bermakna buat pasangan. 

10. Niatkan memperbaiki, bukan menang

Tujuan perbincangan adalah untuk mencari penyelesaian, bukan untuk menunjukkan individu yang betul atau salah. 

Dalam perbincangan, cuba redakan diri dan katakan, "Tak apa, mari kita cari jalan tengah. Saya sayang keluarga kita dan kita akan perbaiki bersama."  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram