
SEBUAH majlis perkahwinan di Tulungagung, Jawa Timur menarik perhatian ramai apabila pengantin perempuannya tampil dengan aksesori luar biasa iaitu seekor ular hijau melilit leher dan seekor burung berwarna hitam jingga pada bahu.
Menerusi hantaran di laman Instagram, jurusolek pengantin, Irene Septaria memuat naik video detik-detik majlis itu sehingga tular di media sosial.
Dalam video tersebut, pengantin perempuan dikenali sebagai Tata kelihatan tenang dan tersenyum meskipun ular melingkari lehernya seperti kalung, manakala suaminya, Rastra turut menyertai sesi bergambar bersama haiwan peliharaan mereka.
Menurut Irene, pasangan itu sememangnya merupakan pencinta haiwan eksotik dan membawa haiwan kesayangan pada majlis akad nikah sebagai simbol cinta.
"Saya hanya tahu tentang ular itu selepas solekan selesai. Pengantin perempuan memakainya dengan yakin dan menjelaskan bahawa ular itu jinak serta selamat," kata Irene.
Walaupun mengejutkan tetamu dan jurugambar, pasangan pengantin memberi jaminan bahawa haiwan tersebut telah dijinakkan dan terbiasa dengan kehadiran manusia.
Tindakan berani itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Ada yang memuji keberanian dan keunikan konsep pasangan tersebut, manakala segelintir mengaku berasa tidak selesa melihat ular dijadikan aksesori perkahwinan.
"Berani betul pengantin perempuan," kata Mantrapuspa.
"Wah lain daripada lain," kata Vauzabride.
Namun begitu, ramai yang melihatnya sebagai satu bentuk ekspresi cinta yang tulen iaitu bukan sahaja kepada pasangan, tetapi juga kepada haiwan yang telah menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka.
Perkahwinan Tata dan Rastra sekali lagi membuktikan bahawa setiap pasangan mempunyai cara tersendiri untuk meraikan hari bahagia mereka dan bagi mereka, ‘kalung cinta’ itu berbisa tetapi penuh makna. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram