
HASRAT pasangan pengantin melangsungkan majlis perkahwinan secara tertutup 'terjejas' selepas Tok Kadi yang menjalankan akad nikah tersebut bertindak melakukan siaran langsung di aplikasi TikTok tanpa kebenaran pengantin atau keluarga.
Menurut hantaran di Threads oleh ibu pengantin lelaki berkenaan, telefon Tok Kadi terlibat dilihat terlalu dekat dengan pengantin ketika membuat siaran langsung, sehingga menyebabkan momen peribadi itu menjadi bahan tontonan umum tanpa persetujuan.
Katanya, situasi yang berlaku di Kuala Terengganu, Terengganu itu bukan sahaja mengganggu suasana akad, malah menjejaskan privasi anaknya.
BACA LAGI: Budak lelaki usia 8 tahun tenang imamkan solat jenazah bapa, tanam cita-cita jadi ustaz
"Ia tidak sepatutnya berlaku. Sekurang-kurangnya minta izin dahulu dengan anak saya jika mahu kongsikan detik kecil ini secara langsung. Tidak semua perkara perlu disiarkan di media sosial," tegas wanita itu.
Beliau juga menyatakan kebimbangan jika pengantin lelaki berasa gugup atau melakukan kesilapan, rakaman live itu berpotensi menjadi aib anaknya.
"Bayangkan jika anak saya terlampau debar dan membuat silap. Kalau jadi viral sangat mengaibkan anak saya," ujarnya yang turut menganggap penggunaan filter pada wajah anaknya dalam siaran langsung itu tidak sesuai.
Beliau menambah, walaupun inisiatif Tok Kadi bertujuan menyebarkan pengetahuan mengenai akad nikah kepada orang ramai, namun perlu nilai masa dan tempat yang lebih sesuai untuk berbuat demikian.
"Saya hargai usaha awak untuk menyebarkan ilmu secara meluas, tetapi perlu mengikut kesesuaian tempat dan masa," katanya.
Beliau pada masa sama memilih untuk tidak menegur Tok Kadi terbabit ketika majlis berlangsung kerana tidak mahu mencetuskan suasana tidak diingini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram