Pilih tarikh unik 22.02.2022, 59 pengantin kahwin serentak


  • Massa
  • Selasa, 22 Feb 2022

ANTARA pasangan yang memilih tarikh menarik 22 Februari 2022 untuk disatukan. — Bernama

TANGGAL istimewa 22.02.2022 menjadi momen bersejarah bagi 59 pasangan pengantin apabila disatukan dalam upacara perkahwinan beramai-ramai serba ringkas di Wisma Chin Woo di Ipoh, Perak pada Selasa.

Majlis anjuran Ipoh Chin Woo Athletic Association itu mengumpulkan dan meraikan pasangan berumur lingkungan 25 hingga 38 tahun yang diserikan dengan kehadiran ibu bapa masing-masing bagi melengkapkan lagi upacara perkahwinan.

Pasangan sebaya, Chan Kai Wei dan isterinya Chow Ji Khay, 27, berkata, mereka memilih tarikh 22 Februari 2022 kerana ia sangat istimewa dan senang diingati di samping mempunyai makna angka yang bertuah untuk diraikan.

"Kami bekerja di Singapura namun begitu, kami sanggup pulang ke kampung halaman di Ipoh untuk memilih tarikh hari ini sebagai tarikh perkahwinan kami," kata mereka ketika ditemui selepas melangsungkan perkahwinan tersebut.

274095015_327485256077561_5136460295346421505_n

SEBANYAK 59 pasangan disatukan dalam upacara perkahwinan di Wisma Chin Woo di Ipoh pada Selasa. — Bernama

Pasangan yang masing-masing bekerja sebagai polis dan pereka fesyen di negara jiran itu turut berkongsi detik perkenalan mereka bermula dari darjah enam sebelum bibit cinta mulai mekar apabila meningkat dewasa.

"Perkenalan kami sudah memasuki tahun ke-15 dan saya mula menyukai isteri sejak di bangku sekolah ketika darjah enam. Tahun lepas, saya ambil keputusan untuk melamar isteri di sebuah pusat penginapan terkenal di Tambun," tambahnya.

Satu lagi pasangan, Tong Kok Leong, 29, berkata, dia dan isterinya, Hah Siaw Jun, 35, memilih untuk tidak berkahwin secara tertutup kepada keluarga sebaliknya memilih untuk disatukan beramai-ramai sebagai satu kenangan yang akan selalu diingati dan sukar untuk mendapatkan tarikh unik seperti ini di masa hadapan.

"Tarikh hari ini unik dan istimewa buat saya dan isteri kerana tidak tahu bila lagi untuk dapatkan tarikh yang begini di masa hadapan.

"Di samping itu, kos majlis perkahwinan ini hanya berjumlah RM260 bagi setiap pasangan yang merangkumi majlis dan juga sijil perkhahwinan," kata mereka.

Sementara itu, presiden persatuan, Datuk Ooi Foh berkata, majlis itu merupakan antara yang terbesar dianjurkan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama hampir dua tahun yang menjejaskan perancangan mereka.

Majlis berlangsung dengan setiap 12 pasangan dikahwinkan serentak bagi memastikan penjarakan sosial dapat diamalkan sepanjang majlis dilaksanakan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

kahwin, tarikh, 22 Februari 2022, Ipoh, Perak, PKP, Singapura,