
SETIAP kali melangkah ke hospital, mata mudah tertumpu kepada doktor yang membuat diagnosis atau merawat pesakit.
Namun di sebalik kelancaran sistem kesihatan negara, peranan jururawat sebagai salah satu barisan hadapan mungkin kurang mendapat perhatian sewajarnya.
Sedangkan merekalah individu terawal mendekati masyarakat dalam menyampaikan maklumat kesihatan.
BACA LAGI: Bekas 'orang kuat' KKM kongsi tip elak jururawat stres, hilang mood bekerja
BACA LAGI: Terkesan layanan luar biasa staf perubatan, wanita cari jururawat baik hati di Hospital Keningau
Seperti perkongsian seorang jururawat menerusi aplikasi TikTok akaun, annaroziana telah menarik perhatian ribuan warga maya, sekali gus membuka mata masyarakat terhadap pengorbanan besar dilakukan golongan itu, jauh melangkaui tanggungjawab rasmi mereka.
Video berdurasi 40 saat itu memaparkan jururawat berkenaan menyuap makanan kepada seorang pesakit warga emas yang lumpuh kedua-dua belah tangan akibat serangan strok.
Menurutnya, pesakit berkenaan perlu makan sebelum berpuasa untuk menjalani pembedahan, tetapi tiada sesiapa yang dapat membantunya.
Tangkap layar memaparkan jururawat tersebut menyuap makanan kepada pesakit warga emas.
“Pak cik kena puasa pukul 2 pagi untuk buat pembedahan, jadi kena makan dulu tapi tak ada orang nak suapkan.
“Saya cakap dekat pak cik, tunggu ya saya siapkan kerja dulu nanti saya suapkan," tulisnya menerusi ruangan kapsyen.
Usai melaksanakan semua tugasan, jururawat itu kembali ke katil warga emas berkenaan dan menyuapkan nasi bersama lauk kepadanya.
"Sejam selepas itu saya datang semula, cakap kepada pak cik jom makan. Pak cik jawab, Alhamdulillah, ingatkan kau dah lupa.
"Saya jawab, saya siapkan kerja dulu,” katanya yang turut bersedih mengenangkan situasi ketika menjaga arwah bapa sebelum ini.
Perkongsian itu bukan sekadar momen antara pesakit dan jururawat, tetapi turut mencerminkan sisi kemanusiaan dalam dunia penjagaan kesihatan yang sering terlepas pandang.
Ia mengangkat realiti bahawa jururawat bukan sahaja menyuntik ubat dan menulis laporan, tetapi juga memainkan peranan sebagai pengganti keluarga terutamanya bagi pesakit sebatang kara.
Masyarakat maya memuji tindakan jururawat tersebut dan menggesa agar lebih banyak penghargaan diberikan kepada wira-wira tanpa nama ini.
“Beginilah kehidupan jururawat sebenar. Yang nampak mungkin hanya uniform dan senyuman, tapi di sebaliknya ada peluh, air mata dan pengorbanan yang tak pernah diceritakan,” tulis seorang pengguna TikTok dengan nama akaun Mayramea. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram