Bidang perubatan, IT antara top 5 pekerjaan 'high demand' di Malaysia, pelajar lepasan SPM mungkin boleh pertimbangkan


  • Relaks
  • Selasa, 29 Apr 2025

Pelajar lepasan SPM harus bijak buat pilihan jurusan pendidikan terutamanya dalam bidang menjanjikan prospek kerjaya yang cerah. — Gambar hiasan/Freepik dijana oleh AI

DI Malaysia, pasaran pekerjaan semakin berkembang seiring dengan kemajuan teknologi dan perubahan dalam ekonomi global.

Pelbagai sektor kini mengalami permintaan tinggi terhadap tenaga kerja, terutamanya dalam bidang-bidang menjanjikan prospek kerjaya yang cerah.

Bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ini adalah satu peluang yang baik untuk memilih bidang bersesuaian mengikut trend semasa.

BACA LAGI: Mahu kejar impian dalam bidang perubatan, wanita tekad ambil SPM pada usia 36 tahun

BACA LAGI: 'Mereka cukup kecewa, jangan tambah luka di jiwa', Dr Tengku Asmadi ajak ibu bapa peluk anak, berlapang dada terima keputusan SPM

Menurut satu hantaran di Facebook Profesor. Dr Zainur Rahsid Zainuddin, beliau berpandangan bahawa orang yang baik dan cerdik seharusnya menguasai dan memanfaatkan ekosistem kerjaya demi kebaikan rakyat dan negara.

Berikut Majoriti kongsikan antara lima bidang pekerjaan yang semakin mendapat permintaan tinggi untuk rujukan pelajar lepasan SPM dan para ibu bapa:

1. Teknologi maklumat (IT)

Menurut laporan menerusi laman web Edstellar baru-baru ini sebanyak 48 peratus syarikat mengalami kekurangan tenaga kerja di Malaysia.

Masalah tersebut dicatatkan tinggi dihadapi di negeri-negeri utama seperti Selangor, Johor dan Kuala Lumpur apabila sebanyak 60 peratus syarikat bergelut mencari pekerja mahir.

Antaranya melibatkan kumpulan profesional, bahagian IT dan bahagian pengurusan. Oleh itu, keperluan untuk tenaga kerja dengan kemahiran teknikal dan pengurusan lanjutan amat diperlukan bagi menyokong ekonomi digital Malaysia.

2. Perkhidmatan perbankan, kewangan

Bidang yang dinamik dan sentiasa berkembang ini menawarkan beberapa pilihan pekerjaan bergaji tinggi untuk individu yang secara semula jadi tertarik kepada nombor.

Selain itu, sektor fintech sedang berkembang dan berada di barisan hadapan dalam transformasi kewangan.

Jurutera perisian, penganalisis data dan pakar blockchain mendapat permintaan tinggi bersama gaji bulanan yang boleh mencecah sehingga lebih RM10,000.

3. Perubatan

Saban hari, permintaan dalam pekerjaan bidang perubatan terus meningkat.

Menurut sumber, negara memerlukan seramai 44,804 penolong pegawai perubatan (PPP) tahun ini berikutan jangkaan penduduk Malaysia mencecah sebanyak 36 juta.

Tawaran gaji untuk kepakaran perubatan dikira agak lumayan, sekali gus mencerminkan peranan bidang profesional tersebut dalam kesejahteraan negara.

Bidang perubatan bukan sahaja melibatkan doktor, malah merangkumi profesion lain seperti ahli farmasi, ahli radiologi dan jururawat.

Penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran semakin meluas, mencipta permintaan tinggi untuk tenaga pengajar yang mahir dalam teknologi pendidikan. — Gambar hiasan/Freepik dijana AI

4. Pendidikan

Bidang pendidikan di Malaysia sedang mengalami transformasi digital yang pesat.

Penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran semakin meluas, mencipta permintaan tinggi untuk tenaga pengajar yang mahir dalam teknologi pendidikan.

Selain itu, terdapat keperluan untuk guru dalam pelbagai subjek, terutamanya dalam bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik).

Kementerian Pendidikan Malaysia juga memberi tumpuan kepada peningkatan kualiti pendidikan melalui latihan dan pembangunan profesional bagi guru-guru di seluruh negara.

5. Logistik

Malaysia berpotensi menjadi hab serantau utama dalam sektor logistik dan perkhidmatan berikutan kedudukannya yang strategik di persimpangan laluan perdagangan dunia.

Selain itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim  menekankan pentingnya meningkatkan kemahiran dalam sektor logistik melalui pusat kecemerlangan dan latihan.

Beliau menyatakan bahawa perubahan ekosistem logistik berlaku dengan cepat dan Malaysia perlu memastikan tenaga kerja dalam sektor ini sentiasa kompeten. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram