
BARU-baru ini, pasukan remaja wanita bola tampar pantai Malaysia yang menyertai kejohanan Terbuka Pintang AVC di China terpaksa akur selepas mengakhiri cabaran hanya sekadar di peringkat kumpulan selepas gagal mengutip mata.
Nur Azwa Qariesya Mohammad Noor Aizuddin dan Rachael Goh nyata dilihat bergelut untuk bersaing selepas tewas dengan pasukan lawan dari China 0-2 dan juga Jepun 0-2.
Berita mengenai keputusan terbabit turut dikongsikan menerusi hantaran Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) di Facebook.
BACA LAGI: Bil 'modify' pernah cecah RM50,000, Outsider Bikes mampu penuhi cita rasa peminat basikal
Bagaimanapun, perkara lebih menarik perhatian menerusi perkongsian terbabit adalah mengenai perbezaan ketara saiz tubuh atlet Malaysia berbanding pesaing mereka.
Selain saiz badan, perbezaan ketinggian atlet remaja Malaysia yang beraksi pada cabaran terbabit juga dilihat agak signifkan.
Situasi itu menyebabkan ramai warganet berpandangan negara perlu memperbaiki mutu pemakanan bagi membolehkan atlet Malaysia memiliki keupayaan bersaing dengan atlet dari negara luar.
Malah menurut mereka, penambahbaikan dilakukan sepatutnya tidak hanya melibatkan kepada atlet semata-mata tetapi juga semua kanak-kanak di dalam negara.
Faktor perbezaan fizikal dilihat menjadi antara faktor menyukarkan atlet Malaysia bagi bersaing secara lebih kompetitif di peringkat antarabangsa. — Facebook/Malaysia Volleyball Association
Sementara itu, seorang pengguna akaun X, amuzam3 berkata, meskipun ketinggian seseorang individu dipengaruhi oleh genetik, namun pengambilan nutrisi turut memainkan peranan besar.
"Ketinggian manusia dipengaruhi oleh dua faktor iaitu genetik sebanyak 80 peratus dan pemakanan (20 peratus).
"Perbezaan ketinggian (orang) Afrika dengan Malaysia dipengaruhi oleh genetik.
"Tapi perbezaan ketinggian (orang) Asia Timur (China, Korea Selatan dan Jepun) dengan Malaysia dipengaruhi nutrisi," katanya.
Ketinggian dipengaruhi dua faktor: genetik (80%) dan nutrisi (20%)
Perbezaan ketinggian African dengan Malaysian dipengaruhi oleh genetik.
Tapi perbezaan ketinggian East Asian dengan Malaysian dipengaruhi nutrisi. https://t.co/YYYXFbEndd
— Muz - Ghostwriter(@amuzam3) May 15, 2025
Dalam pada itu, amuzam3 turut berkongsikan lima sebab rakyat Malaysia memiliki ketinggian lebih rendah berbanding negara Asia lain yang maju khususnya dalam pengambilan nutrisi.
Pertama menurutnya adalah kerana pengambilan nutrisi pada 1,000 hari pertama selepas bayi dilahirkan.
"Di China, Korea Selatan dan Jepun, bayi wajib minum susu sahaja enam bulan pertama. Ibu bapa sedar kesan ini kepada pembesaran anak.
"Di Malaysia ada kes bayi dah diberi minum air kosong pada enam bulan pertama," tulisnya.
Kedua, ujarnya ibu bapa di Malaysia juga dipercayai tidak memiliki pengetahuan baik mengenai pengambilan makanan bernutrisi.
Kesedaran kepentingan amalan pemakanan sihat dalam kalangan ibu bapa sangat penting dalam melahirkan generasi yang membesar dengan baik. — Gambar hiasan
Untuk negara seperti China, Korea Selatan dan Jepun, ibu bapa memberi penekanan penting terhadap pengambilan protein dan mikronutrien.
"Diet harian wajib ada nasi, tauhu, telur, ikan dan sayur.
"Di Malaysia, ada kes anak Orang Asli beri anak umur kurang dua tahun minum teh. Bila jururawat KKM (Kementerian Kesihatan) bagi susu, mereka jual balik susu itu," kongsinya.
Ketiga, katanya negara di Asia Timur yang dijadikan contoh itu turut memberikan makanan yang betul terutamanya di sekolah..
Jelasnya, sekolah di China, Korea Selatan dan Jepun diwajibkan mempunyai sekurang-kurangnya seorang pakar nutrisi yang bertanggungjawab merancang dan memantau menu makanan kantin.
"Di Malaysia pula, jurang perkhidmatan kesihatan menyebabkan seorang pakar nutrisi perlu merangkumi sehingga lima klinik dalam satu daerah.
"Ahli nutrisi di sekolah apatah lagi. Sebab itu makanan kantin tak sihat," jelasnya.
Faktor keempat menurut amuzam3 adalah persekitaran yang tidak membantu dalam memastikan pengambilan nutrisi yang baik.
Budaya pemakanan di sekolah turut memainkan peranan penting terhadap amalan pemakanan sihat. — Gambar hiasan
"Di China, Korea Selatan dan Jepun, yang miskin ramai yang jadi meningkat ke kelas pendapatan pertengahan.
"Bila dah berduit, rumah jadi semakin bersih, kesihatan terjaga, tetapi di Malaysia, kelas pertengahan kita tak sama dengan di negara tersebut. Kelas pertengahan kita masih kategori kelas bawahan atasan di sana sebenarnya," katanya.
Terakhir, Amuzam berkata, penekanan budaya turut memainkan peranan dalam membentuk pengambilan nutrisi dalam pembesaran kanak-kanak.
Ujarnya, di negara Asia Timur yang maju, masyarakat memiliki norma untuk memandang hebat terhadap individu yang tinggi.
"Orang-orang tinggi selalu dipandang tinggi sampai tahap cucuk hormon pembesaran dekat anak supaya jadi tinggi.
"Di Malaysia tiada dogma budaya seperti ini," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram