
IBU BAPA diseru supaya sentiasa peka terhadap kesihatan pendengaran bayi mereka bagi membolehkan sebarang masalah dikesan seawal mungkin, sekali gus memudahkan proses pemulihan.
Pengarah Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah, Dr Yogendra Panchalingam berkata, masalah pendengaran boleh terjadi kepada sesiapa sahaja termasuk bayi baru lahir dan kebiasaannya tidak dapat dikesan secara jelas pada peringkat awal.
“Ujian saringan pendengaran amat penting untuk pengesanan awal bagi mengelakkan kesan negatif terhadap perkembangan pertuturan, keupayaan kognitif dan interaksi sosial kanak-kanak,” katanya.
BACA LAGI: [VIDEO] Hanya modal RM150, ibu 3 anak tunjuk skil DIY buat 'wall skirting'
Beliau turut menekankan bahawa pendengaran bayi mudah terjejas terutamanya akibat kecederaan kepala.
Oleh itu, beliau menasihati ibu bapa agar segera mendapatkan pemeriksaan pendengaran daripada profesional perubatan sekiranya bayi mengalami sebarang hentakan atau kecederaan di kepala.
Dr Yogendra menyampaikan peringatan itu semasa merasmikan bengkel dua hari Hearing Screening Staff Privileging Guidelines yang diadakan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah, Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini.
Bengkel anjuran Unit Audiologi Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah itu menghimpunkan lebih 50 peserta terdiri daripada kakitangan saringan pendengaran, paramedik dan jururawat perubatan.
Dr Yogendra berkata, bengkel tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai garis panduan serta standard saringan pendengaran.
Selain itu, bengkel itu dibuat bagi memperkasakan kebolehan kakitangan dalam menyampaikan maklumat kesihatan dengan lebih berkesan kepada masyarakat.
Sepanjang bengkel itu, peserta turut didedahkan dengan enam pembentangan oleh pakar perubatan dan audiologi, di samping sesi latihan praktikal serta aktiviti saringan.
Antara yang hadir termasuk Ketua Perkhidmatan Otorinolaringologi (ORL) Sabah, Dr Halimudin Sawali; Ketua Perkhidmatan Audiologi Sabah, Sitti Ladyia Mohd Salleh; dan Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Datuk Dr K. Balanathan Kathirgamanathan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram