
PELAKON dan penyanyi, Bella Astillah menerima penghormatan apabila dinobatkan sebagai Ikon Ibu Muda sempena Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan 2025 yang berlangsung pada Ahad di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Sabah pada Ahad.
Anugerah itu disampaikan oleh isteri kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Faridah Tussin dan disaksikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri serta isteri Ketua Menteri Sabah, Datin Seri Juliah Salag.
Sebagai penerima, Bella membawa pulang sijil penghargaan, selempang dan sejambak bunga sebagai simbol pengiktirafan terhadap peranan dan ketabahan beliau sebagai seorang ibu muda yang besar membesarkan anak-anak.
@farahfayyadh icon ibu muda 2025 taniah bella astilah selepas hujan munculnya pelangi #bass #bellaastillah bunyi asal - Farah Liyana
Dalam satu rakaman video yang dimuat naik pengguna TikTok, Farah Liyana, pelakon berusia 31 tahun itu kelihatan sebak sebaik diumumkan.
Sewaktu menyanyikan lagu berjudul Kau Segalanya dalam majlis itu, Bella menangis sambil memperkenalkan ibunya, Siti Zarina Astillah kepada khalayak dan mencium tangan wanita yang membesarkannya.
Mengulas tentang anugerah tersebut, Bella meluahkan rasa syukur dan rendah diri menerusi satu hantaran di Instagram.
"Alhamdulillah, saya benar-benar berbesar hati dipilih sebagai Ikon Ibu Muda. Sejujurnya, saya percaya masih ramai ibu lain yang lebih layak menerima pengiktirafan ini.
"Namun saya yakin ini adalah rezeki daripada-Nya. Syukur, Alhamdulillah. Selamat Hari Ibu buat semua," katanya.
Pemilik nama sebenar Dayang Ara Nabeela Awang Astillah itu tidak lagi asing dalam dunia hiburan tanah air.
Di sebalik sinaran populariti, beliau meniti kehidupan sebagai seorang ibu yang berdikari dan kuat semangat iaitu sesuatu yang menyentuh ramai pihak hingga melayakkannya menerima pengiktirafan tersebut.
Anugerah itu sekali gus memberi inspirasi kepada ibu-ibu muda di seluruh negara bahawa setiap pengorbanan yang dilakukan walau dalam diam tetap ada yang dihargai. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter , Facebook , Instagram , WhatsApp Channel dan Telegram