[VIDEO] Acara 4x200m di AS kecoh, pelari diserang guna kayu baton hingga alami gegaran otak


  • Podium
  • Isnin, 10 Mac 2025

Dari kiri: Tucker diserang Everett ketika larian sehingga menyaksikannya jatuh sambil memegang kepala akibat hentakan tersebut.

MOMEN mengejutkan tercetus ketika Kejohanan Tertutup Virginia High School (VHSL) Kelas 3, Amerika Syarikat pada Jumaat lalu apabila seorang pelari diserang pesaingnya ketika larian berlangsung.

Dalam video tular di laman X, kelihatan peserta memakai sut berlari berwarna biru gelap secara tiba-tiba diserang pencabar berhampirannya menggunakan kayu baton dipercayai diperbuat daripada logam.

Kejadian itu menerima liputan meluas daripada media di negara berkenaan dengan ramai melaporkan mangsa, Kaelen Tucker mengalami gegaran otak selain tengoraknya disyaki retak.

BACA LAGI: [VIDEO] Muka tersembam atas trek, juara dunia MotoGP kemalangan di litar Sepang

BACA LAGI: [VIDEO] Mak cik tak sabar buat hal, masuk melintas trek sampai langgar pelari

Dia yang merupakan pelajar junior di Sekolah Tinggi Brookville merupakan antara pencabar utama dalam acara 4x200 meter (m) selepas membawa pulang pingat perak dalam acara pecut 55m wanita.

Bagaimanapun, ketika bersaing dalam larian berkenaan, dia secara tiba-tiba menjadi mangsa kepada pesaing ketika mereka merebut kedudukan kedua perlumbaan.

Berkata kepada media selepas insiden itu, Tucker menjelaskan bagaimana dia dan pihak menyerang bersaing sengit di bahagian lengkung trek sebelum serangan tersebut berlaku.

"Sebelum itu, bahu dan lengan kami saling bertembung dan ketika memasuki fasa akhir larian, saya dapat memintasnya. Tetapi, secara tidak disangka-sangka, saya diserang," katanya.

Klip berdurasi 15 saat tersebut turut memaparkan Tucker tidak dapat meneruskan perlumbaan akibat hentakan keras di kepala dengan orang ramai yang menyaksikan larian juga tergamam.

Tucker mengalami kecederaan kepala susulan serangan dialaminya ketika larian itu. — Agensi

Dalam perkembangan terbaru, pelari yang membuat serangan, Alaila Everett yang mewakili Sekolah Tinggi IC Norcom berkata, insiden itu berlaku secara tidak sengaja selain mahu orang ramai supaya berhenti mengkritiknya.

Jelasnya, dia sendiri tidak menyangka penyertaannya dalam Kejohanan Tertutup VHSL Kelas 3 akan mengundang padah hanya disebabkan kejadian di luar kawalannya itu.

"Setelah beberapa kali kami bertembung, baton saya secara tidak sengaja tepat mengenainya. Saya hilang keseimbangan sebelum ia tepat mengenai kepalanya.

"Akibat insiden itu, saya menjadi mangsa tohmahan daripada orang ramai, termasuk yang menyerangnya saya atas dasar perkauman. Dia mungkin cedera dari segi fizikal, tetapi bagaimana pula dengan kesihatan mental saya?" katanya.

Insiden itu menyaksikan Sekolah Tinggi IC Norcom disingkirkan secara automatik daripada acara 4x200m itu dengan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan akan diteruskan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram