Bagaimana usahawan wanita Sabah mengembangkan perniagaan melalui e-dagang


  • Relaks
  • Khamis, 20 Mac 2025

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick (kiri) semasa majlis perasmian Tik Tok Shop x Tekun Live Hub di cawangan Tekun Penampang baru-baru ini.

LANDSKAP perniagaan dalam talian di Sabah semakin meriah dan gelombang baharu ini disemarakkan oleh usahawan-usahawan wanita yang kini menjadikan e-dagang sebagai platform utama untuk meraih pendapatan. 

Melalui TikTok Shop, mereka bukan sahaja menjual produk sendiri malah keunikan warisan budaya Sabah turut dikongsi secara meluas melalui penjualan hasil kraf tempatan dan khazanah alam semula jadi. 

Kadar penggunaan e-dagang yang semakin meningkat mencipta impak positif kepada komuniti setempat. Aspek geografi bukan lagi beban buat penduduk yang tinggal di pedalaman malah urusan menjadi lebih mudah di samping mengimbangi komitmen peribadi. 

BACA LAGI: Sarimah, Lisdawati antara selebriti sumbang baju raya 'pre-loved' untuk mereka memerlukan

BACA LAGI: Kesatuan sekerja di China menggesa syarikat berhenti bertanya pada pekerja wanita mengenai status perkahwinan

Dengan pelancaran TikTok Shop Live Hub di Penampang, Sabah, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) tempatan kini mempunyai akses kepada alatan dan sokongan untuk membina perniagaan dalam talian masing-masing agar lebih cepat berkembang.

Salah seorang usahawan, Ruhie Rue, telah membina nama untuk dirinya sendiri melalui perniagaan mutiaranya, RAA.

Memanfaatkan penstriman langsung, beliau gembira dapat memperkenalkan keindahan mutiara air tawar Sabah kepada pelanggan di seluruh Malaysia malah dunia. 

Sebagai antara pengguna terawal platform itu, Ruhie berkata beliau sudah lama sedar akan potensi e-dagang sejak platform berkenaan baru mula bertapak di negara ini.

Hari ini, dia sudah berjaya menjual lebih 40,000 aksesori mutiara dan pencapaian ini telah melayakkannya memperoleh lencana Star Shop yang diidam-idamkan ramai - sebagai tanda kecemerlangan di platform.

Tetapi bagi Ruhie, kejayaan adalah lebih daripada sekadar jualan. Beliau gembira melihat komunitinya turut sama melibatkan diri, membuktikan perniagaan dalam talian mempu mencipta impak positif dan mengeratkan hubungan. 

Bagi Elysiana Jemaslin, seorang guru seni yang kini bergelar usahawan, aktiviti dagangan secara digital berfungsi sebagai jambatan antara tradisi dan moden.

Mendapat inspirasi sewaktu pengajian di universiti mengenai warisan budaya, beliau menggabungkan seni reka bentuk Sabah dan Sarawak ke dalam fesyen kontemporari.

Jersinya menampilkan corak rumit dengan kepentingan budaya yang mendalam termasuk Vinusak, corak Dusun tradisional dan corak Linongkitan Rungus yang merupakan corak tenunan Rungus.

Pua Kumbu Sarawak, tekstil yang digunakan dalam upacara keramat selain tatu tradisional oleh masyarakat Iban Sarawak, melambangkan identiti dan warisan yang amat dibanggakan. 

Apa yang bermula sebagai projek universiti berskala kecil, kini telah berkembang menjadi perusahaan bernilai jutaan ringgit.

Sejak itu, beiau telah mengembangkan perniagaannya ke seluruh negara, memperoleh lencana Star Shop eksklusif atas komitmen serta inovasinya dalam usaha pemeliharaan budaya.

Produk lestari

Walaupun sesetengah usahawan menumpukan pada warisan, Saila, pengasas LJD Corporation, sedang fokus menangani kelestarian alam sekitar.

Melihat masalah sisa plastik yang semakin meningkat di Sabah, beliau mula mengubah plastik terbuang kepada produk pelancongan yang mampan.

Dengan menggaji tukang dan pelarian tempatan, Saila bukan sahaja mencipta pekerjaan tetapi juga menggalakkan kesedaran alam sekitar.

Platform e-dagang telah membolehkannya meningkatkan impaknya di luar Sabah, membuktikan bahawa perdagangan digital boleh memacu perubahan sosial dan alam sekitar.

Ketiga-tiga wanita ini berkongsi perkara yang sama - keupayaan untuk menyesuaikan diri, berinovasi dan berhubung. Mereka menerima pembelajaran berterusan, memperhalusi penjenamaan mereka melalui penceritaan, dan memanfaatkan platform digital untuk meningkatkan perniagaan mereka.

Dengan Live Hub baharu, lebih ramai usahawan Sabah kini mempunyai akses kepada sumber, bimbingan dan alatan e-dagang, membuka jalan kepada perniagaan generasi baharu yang diterajui wanita agar dapat berkembang lebih maju.

Kisah kejayaan ketiga-tiga wanita ini di dalam perdagangan digital menjadi inspirasi ramai. Gabungan antara tujuan, budaya dan inovasi telah berjaya dalam mencipta impak yang berkekalan. — TheStar 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram