
MESKIPUN berasal dari keluarga sederhana, semangat juang untuk membantu masyarakat tetap tersemat dalam dirinya.
Aktif melibatkan diri dalam pelbagai misi bantuan kemanusiaan, Roha Hassan, 45, menjadi antara wakil wanita yang mengharumkan nama Malaysia.
Mungkin tidak ramai tahu tentang dirinya, Roha yang juga merupakan Pengurus Besar Operasi MyCARE terlibat dalam dunia sukarelawan lebih 40 tahun dan sudah menjejakkan kaki di 25 buah negara.
BACA LAGI: Dari Bangi ke Sabah, Afiqah pelopor wanita dalam dunia perlombongan emas
Roha ketika menyertai misi di Kem Pelarian Palestin dan Syria.
Di saat remaja lain sedang meneroka keseronokan, Roha pula aktif dalam aktiviti kemasyarakatan di sekolah dan diteruskan sehingga ke menara gading.
Kata Roha, dia sering mencari peluang untuk membantu masyarakat dan komuniti di sekelilingnya.
Namun, di sebalik rasa tanggungjawab itu adalah bermula daripada sikap ibu bapanya yang sentiasa ringan menghulurkan bantuan kepada individu memerlukan.
Sikap Roha (kiri) yang sentiasa mahu membantu masyarakat.
"Sebenarnya semua ini bermula daripada arwah mak dan ayah saya. Mereka ini dahulu keluarga sederhana sahaja.
"Arwah mak dengan ayah ini pegangannya adalah jangan hampakan harapan orang. Kalau orang datang minta bantuan memang kena bantu.
"Mak walaupun tak ada duit ketika itu, dia senyap-senyap bungkuskan beras dan hulurkan kepada individu tersebut.
"Ada juga peristiwa yang saya ingat apabila seorang wanita saya panggil Tok Ngah datang minta mak tolong.
"Tetapi, disebabkan dia takut suami tahu, dia sembunyikan beras atau duit dalam kain batik. Di situ saya nampak sifat bantu-membantu sesama kaum wanita," katanya kepada Majoriti.
Anak keempat daripada sembilan beradik itu juga pernah membuat satu kumpulan bersama rakan sekerjanya ketika di Pulau Pinang untuk mengumpulkan dana bagi membantu yang kurang bernasib baik.
Semakin meningkat usia, Roha memutuskan untuk menyertai misi bantuan kemanusiaan tempatan dan antarabangsa melalui badan bukan kerajaan (NGO) sejak 1990.
Tsunami Aceh
Roha (kanan) ketika misi bantuan kemanusiaan di Aceh pada 2005.
Berkongsi serba sedikit tentang perjuangannya, antara pengalaman tidak boleh dilupakan adalah ketika menjadi antara wakil sukarelawan Malaysia yang sertai misi bantuan pasca tragedi tsunami pertama di Aceh, Indonesia pada 2004.
"Waktu itu umur saya 25 tahun dan masih bekerja sebagai jurutera di Pulau Pinang.
"Tetapi, masa itu saya memang nak ikut sebuah NGO ke Aceh sekitar awal 2005.
"Waktu saya sampai di sana, banyak rumah tenggelam, lapangan terbang rosak. Perasaan saya pun bercampur baur apabila tengok keadaan di sana," ceritanya,
Imbau Roha lagi, bau jenazah dan mayat yang bergelimpangan sangat menyengat hidung ketika kakinya melangkah masuk ke kawasan tsunami itu.
"Bukan itu sahaja, saya nampak proses nak keluarkan jenazah daripada timbunan tanah dan banyak lagi kubur yang belum dikambus.
"Untuk saya, memang sedih sebab boleh nampak lagi kubur yang masih terbuka.
"Nampak golongan wanita terutamanya mereka yang bergelar ibu merasai trauma kehilangan orang tersayang dan sebagainya," kongsinya.
Baginya, membantu orang bukan hanya sekadar memberi, tetapi juga tentang belajar untuk menghargai kehidupan dan bersyukur atas rezeki yang dikurniakan.
Suasana raya Roha (tengah) bersama individu memerlukan.
Berkongsi suasana raya
Hari raya lazimnya disambut dengan keluarga tercinta dan sanak saudara.
Namun, bagi Roha, suasana raya perlulah dikongsi bersama individu memerlukan.
Roha juga ingin memastikan bahawa mereka juga merasai kemeriahan perayaan yang sepatutnya dinikmati oleh setiap insan.
"Biasanya saya dan keluarga akan berhari raya bersama golongan anak yatim, asnaf serta pelarian di Malaysia.
"Pernah saya berhari raya bersama wanita asnaf yang saya panggil mak cik Aisyah. Dia hidup sebatang kara, tiada suami dan anak-anak.
"Menumpang di rumah sekangkang kera untuk meneruskan kehidupan.
"Apabila saya dan rakan-rakan MyCARE memaklumkan untuk berhari raya di rumahnya, mata mak cik Aisyah berkaca-kaca dan gembira sangat.
"Dua atau tiga hari sebelum raya. Mak cik Aisyah ajak rakan-rakannya kemas rumah untuk menerima kehadiran kami," katanya.
Roha (kanan) bersama mak cik Aisyah.
Roha juga pernah berkunjung ke rumah sebuah keluarga Rohingya.
Katanya, meskipun ruang rumah sangat sempit, tanpa kerusi dan meja, mereka tetap berusaha untuk menyediakan hidangan nasi putih dengan kari Rohingya buat menjamu tetamu.
Katanya, realiti yang mereka hadapi begitu menyedihkan, namun tetap terus menjalani kehidupan dengan penuh sabar.
Antara kenangan lain adalah ketika menyambut raya bersama rakan-rakan pelarian Syria.
"Kebanyakan mereka telah kehilangan ahli keluarga dalam krisis kemanusiaan di Syria.
"Seorang daripada mereka sedang hamil ketika ditinggalkan oleh suami untuk mencari adiknya di Syria.
"Setelah itu, suaminya yang ke Syria untuk mencari adiknya yang hilang tak kembali.
"Wanita Syria ini kemudiannya melahirkan anak tanpa suami yang sampai sekarang tiada khabar," ceritanya.
Melalui pengalaman itu, Roha sedar bahawa makna sebenar raya bukanlah sekadar pada kemeriahan perayaan, tetapi lebih kepada nilai-nilai kemanusiaan yang dapat dikongsikan dengan mereka yang kurang bernasib baik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram