Belum pernah ada murid didenda sebab tak bagi hadiah, cukup jumpa ucap Selamat Hari Guru


  • Bonda
  • Jumaat, 16 Mei 2025

Kehadiran murid dan ucapan yang lahir dari hati jauh lebih bermakna dan menggembirakan buat para pendidik.

SETIAP tahun, 16 Mei menjadi tarikh keramat dalam kalendar pendidikan negara apabila seluruh warga sekolah meraikan sambutan Hari Guru sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan golongan pendidik.

Majlis sambutan yang diraikan dengan pelbagai aktiviti meriah seperti persembahan pentas, acara sukaneka dan penyampaian hadiah, menjadi antara detik paling dinantikan oleh murid dan guru.

Tidak kurang juga ramai murid yang teruja menyediakan hadiah istimewa sebagai tanda kasih buat guru kesayangan.

BACA LAGI: Tak mampu beri hadiah, doa murid istimewa termakbul, guru PPKI hamil lepas 5 tahun berkahwin

BACA LAGI: 'Tunggu esok', Fadhlina jamin ada berita gembira buat pendidik sempena Hari Guru 2023

Namun di sebalik keceriaan itu, masih wujud sisi murid yang memilih untuk tidak hadir ke sekolah pada hari istimewa tersebut hanya kerana tidak mampu menyediakan hadiah.

Situasi itu turut mendapat perhatian bekas pendidik, Mohd Fadli Salleh yang menyifatkannya sebagai isu berulang saban tahun menjelang sambutan Hari Guru.

“Setiap tahun akan ada berita tajuk ini menjelang Hari Guru. Tahun lepas ada, tahun sebelum itu ada, tahun ini pun ada,” tulisnya menerusi hantaran di Facebook miliknya pada Jumaat.

Menurut beliau, hadiah bukanlah ukuran sebenar dalam menghargai jasa seorang guru.

Sebaliknya, kehadiran murid dan ucapan yang lahir dari hati jauh lebih bermakna dan menggembirakan buat para pendidik.

“Datang saja dik, belum pernah dalam sejarah penubuhan negara Malaysia, ada murid didenda lari keliling padang tujuh pusingan sebab tak bagi hadiah.

"Masa ini cikgu-cikgu pula buat pertunjukan atas pentas. Biasa mereka yang latih murid-murid sahaja.

"Tiada hadiah, tak mengapa. Cukup jumpa cikgu ucap, 'Selamat Hari Guru, cikgu' atau tulis atas secebis kertas dan hulur pada guru, pasti mereka sangat hargai," ujar beliau.

Mohd Fadli memberitahu, guru tidak pernah mengharapkan hadiah mewah daripada anak murid.

Malah, kebanyakan guru cukup menghargai sekeping nota ringkas atau ucapan ikhlas sebagai tanda ingatan.

“Cikgu-cikgu bukan nak sangat hadiah murid-murid, lagipun biasanya hadiah itu dari kedai serbaneka saja pun.

"Bukan nilai hadiah jadi keutamaan, tapi rasa dihargai itu yang tak ternilai harganya,” katanya lagi.

Jelasnya lagi, sesetengah sekolah kini memilih menganjurkan acara pertukaran hadiah antara guru, sebagai langkah mengelakkan murid daripada rasa terbeban atau tersisih.

Namun begitu katanya, sifat semula jadi manusia tetap berasa gembira apabila menerima sesuatu yang diberi dengan penuh ikhlas, walau sekecil ucapan di atas sekeping kertas.

“Walau ia hanya ucapan ikhlas daripada seorang anak kecil, ‘terima kasih cikgu ajar saya atau 'selamat hari guru’ itu sudah cukup bermakna.

"Percayalah, tiada seorang pun guru akan berkecil hati jika muridnya tidak memberi hadiah kepadanya.

"Selamat Hari Guru buat semua rakan-rakan guru. Teruslah ikhlas mengajar dan hidupkan jiwa itu sentiasa," luahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram