
PERMINTAAN terhadap ubat penurunan berat badan mencatatkan peningkatan luar biasa sejak 2017, apabila Ozempic mula diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) di Amerika Syarikat (AS).
Sehingga kini, terdapat sembilan jenis ubat dalam kelas agonis GLP-1 (glucagon-like peptide-1) yang diluluskan bagi tujuan mengurangkan berat badan.
Ubat-ubat revolusioner tersebut, yang pada asalnya dirumuskan untuk pesakit diabetes dan obesiti kronik, kini sedang diteroka untuk pelbagai kegunaan perubatan lain.
BACA LAGI: Suplemen kuruskan badan esktrak Garcinia cambogia, Perancis beri amaran kesan sampingan
BACA LAGI: Sebelum usia senja, amalkan 5 'vitamin' penting ini kalau nak pakai badan lama
Dalam perkembangan terkini, FDA meluluskan penggunaan Ozempic untuk mengurangkan risiko penyakit buah pinggang kronik, manakala Wegovy pula dibenarkan sebagai langkah pencegahan terhadap serangan jantung, strok dan kematian akibat masalah kardiovaskular.
Selain itu, Zepbound turut mencipta sejarah sebagai ubat pertama yang diluluskan untuk merawat apnea tidur obstruktif.
Bukan sekadar kurus
Penyelidikan masih di peringkat awal, namun ubat-ubatan tersebut berpotensi digunakan untuk pelbagai keadaan perubatan lain.
Satu kajian berskala besar yang diterbitkan dalam jurnal Nature Medicine melaporkan, ubat seperti Ozempic dan seumpamanya mampu mengurangkan risiko lebih 50 jenis masalah kesihatan termasuk Alzheimer, ketagihan bahan terlarang dan gangguan kesihatan mental.
Kini terdapat sembilan jenis ubat dalam kelas agonis GLP-1 yang diluluskan bagi tujuan mengurangkan berat badan.
Bagaimanapun, Pakar Perubatan Obesiti di NewYork-Presbyterian/Weill Cornell Medical Center, Dr Mohini Aras berkata, kajian tersebut juga mendapati ubat itu boleh meningkatkan risiko masalah lain seperti pankreatitis (radang pankreas) dan artritis.
“Berat badan memberi kesan kepada pelbagai penyakit kronik termasuk diabetes, darah tinggi, kolesterol, hati berlemak dan juga beberapa jenis kanser.
“Penurunan berat badan walaupun hanya lima peratus hingga 10 peratus pun boleh memberikan impak kesihatan yang besar,” katanya.
Menerusi temu bual bersama Health Matter, Dr Mohini menerangkan fungsi ubat seperti Ozempic dan Wegovy, individu yang patut dan tidak patut mengambilnya serta risiko dan kesan sampingannya.
Bagaimanakah ubat penurunan berat badan berfungsi?
Otak manusia secara semula jadi bertindak untuk mengekalkan berat badan dan mengelakkan kelaparan.
Apabila menurunkan berat badan, hormon semula jadi akan menghantar isyarat kepada otak untuk meningkatkan rasa lapar dan keinginan makan serta memperlahankan metabolisme.
Malah, otak juga menjadikan otot lebih efisien, jadi manusia membakar kalori lebih sedikit walaupun dengan aktiviti yang sama, ia adalah tindak balas kepada kebuluran.
Ia menjelaskan fenomena 'yo-yo', yang mana seseorang sering turun dan naik berat badan secara berulang.
Ubat-ubat GLP-1 membantu mengawal hormon kelaparan, mengurangkan selera dan memanjangkan rasa kenyang, sekali gus memudahkan proses penurunan berat badan secara berkesan.
Bagaimana ubat-ubat itu diambil?
Antara ubat popular dalam kategori tersebut termasuk Ozempic, Wegovy, Mounjaro dan Zepbound (yang semuanya mengandungi bahan aktif semaglutide).
Kesemua ubat berkenaan adalah dalam bentuk suntikan mingguan yang boleh dilakukan sendiri di rumah.
Dr Mohini berkata, otak manusia secara semula jadi bertindak untuk mengekalkan berat badan dan mengelakkan kelaparan.
Ia adalah suntikan subkutaneus, jadi boleh dilakukan di paha, abdomen atau lengan dengan jarum kecil yang hanya mencucuk permukaan kulit, jadi tidak terlalu menyakitkan bagi kebanyakan orang.
Versi oral seperti Rybelsus juga tersedia dan lebih mudah untuk dibawa.
Kajian terkini menunjukkan versi pil adalah hampir sama berkesan seperti versi suntikan dan varian pil untuk Ozempic dan Wegovy dijangka tiba tidak lama lagi.
Bagaimana untuk mendapatkan preskripsi?
Bagi mendapatkan preskripsi, pesakit perlu menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh.
Mereka yang mempunyai sejarah penyakit pundi hempedu, pankreatitis atau sejarah keluarga menghidap kanser tiroid tertentu mungkin tidak layak menerima ubat itu.
Berapa kos ubat tersebut?
Kos juga menjadi isu utama, dengan harga mencecah antara $900 (RM3,900) hingga $1,400 (RM6,000) sebulan tanpa insurans.
Obesiti adalah penyakit kronik, jadi apabila mulakan ubat, kita perlu merancang untuk penggunaan jangka panjang.
Tanpa perlindungan insurans, majoriti pesakit saya tidak mampu meneruskan rawatan ini dalam jangka panjang.
Apakah kesan sampingan ubat penurunan berat badan?
Ubat-ubat tersebut bertindak terus pada sistem penghadaman. Salah satu cara ia berfungsi adalah dengan memperlahankan pengosongan gastrik, jadi makanan berada lebih lama dalam perut sebelum ke usus.
Antara kesan sampingan paling biasa ialah loya, sembelit, cirit-birit dan rasa terlalu kenyang disebabkan makanan yang kekal lebih lama di dalam perut.
Kebanyakan pesakit dapat menyesuaikan diri jika dos dinaikkan secara berperingkat dan tabiat pemakanan dikawal.
Saya sering lihat salah faham bahawa kesan sampingan ubat seperti Ozempic sangat teruk, tetapi dalam pengalaman saya, majoriti pesakit boleh menanganinya dengan baik.
Adakah ubat itu boleh membantu dengan ketagihan juga?
Secara klinikal, ubat itu turut didapati mengurangkan keinginan terhadap alkohol, satu manfaat yang sedang dikaji dengan lebih mendalam.
Namun, kesannya hanya kekal sepanjang ubat masih berada dalam sistem badan.
Dr Mohini turut menyeru pesakit yang mungkin berasa malu atau segan untuk bertanya mengenai rawatan tersebut agar tampil ke hadapan.
“Obesiti adalah penyakit kronik, bukan kegagalan peribadi. Kita tidak lagi boleh sekadar menasihatkan pesakit untuk makan kurang dan bersenam lebih. Sebaliknya rawatan perubatan adalah perlu.
"Ubat penurunan berat badan bukan penyelesaian segera, tetapi alat penting dalam strategi jangka panjang untuk kesihatan yang lebih baik," jelasnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram