Malang sungguh calon terpaksa pikul 'dosa' PKR — Hassan Karim


  • Politik
  • Ahad, 07 Jul 2024

Hassan menyifatkan kekalahan PKR di Sungai Bakal berpunca daripada isu naratif nasional.

KEKALAHAN Calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada Sabtu memberi petanda kemarahan rakyat terhadap dasar yang dilaksanakan kerajaan.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, isu penyelarasan diesel yang dilaksanakan kerajaan baru-baru ini menjadi punca utama kekalahan Joohari.

Menurutnya, calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu didakwa menerima kesan daripada pelaksanaan dasar Kerajaan Perpaduan berhubung cukai dan subsidi.

BACA LAGI: PN lakar kemenangan lebih besar pertahan kerusi DUN Sungai Bakap

BACA LAGI: Aktivis politik kena panggil polis dan MCMC, Tian Chua kritik kebebasan bersuara makin terancam sekarang

Pasir Gudang MP Hassan Karim.

Hassan

"Penerimaan rakyat termasuk di Sungai Bakap dalam isu diesel tersebut sangat merugikan calon PKR.

"Rakyat marah kerana kenaikan harga diesel menyebabkan kenaikan harga barangan yang lain menjadikan kos sara hidup semakin tinggi.

"Naratif politik pun tidak begitu baik apabila subsidi diesel ditarik balik sebahagiannya selepas langkah kerajaan menaikkan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) daripada enam kepada lapan peratus bagi sesetengah barang," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Jelas Hassan, pendedahan laporan Ketua Audit Negara tentang penyelewengan dan ketirisan 11 projek syarikat Kerajaan Perpaduan yang dibentangkan di Parlimen dua hari sebelum hari mengundi didakwa turut menyumbang kepada faktor kekalahan.

Ujarnya, penyelewengan dan ketirisan berbilion ringgit itu berlaku pada masa kerajaan sekarang.

"Justeru mudah sahaja untuk penduduk di Sungai Bakap menyimpulkan bahawa tiada beza kerajaan sekarang dengan yang terdahulu," katanya.

WhatsApp Image 2024-07-07 at 11.03.37

Rakyat marah kerana kenaikan harga diesel menyebabkan kenaikan harga barangan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, PH menampilkan Joohari yang lebih mesra dengan panggilan Cikgu Joohari, seorang calon yang bersih dan berintegriti dengan kelulusan tinggi serta layak menjadi wakil rakyat, namun tetap ditolak pengundi.

Hassan menambah, bukan itu sahaja, langkah berani dan lantang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di persada antarabangsa dalam membela rakyat Palestin di Gaza juga tidak memberi kesan.

"Semuanya berlaku apabila Anwar yang juga Menteri Kewangan serta Pengerusi Khazanah Nasional bersetuju menjual sebahagian saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada syarikat Global Infrastructure Partners (GIP) dari Amerika Syarikat yang dikuasai BlackRock iaitu sebuah syarikat pelaburan antarabangsa yang kuat menyokong kerajaan Israel.

“Malang sungguh kepada calon PKR pertama kali itu terpaksa memikul 'dosa' PKR yang dikatakan memungkiri janji reformasi mereka.

"Saya lihat PKR kalah di Sungai Bakal dalam isu naratif nasional.

“Dasar-dasar mengenai cukai dan subsidi ini diputuskan di Putrajaya, tetapi kesan yang terpaksa dipikul ialah kekalahan calon PKR di Sungai Bakap,” katanya.

NIBONG TEBAL, 6 Julai -- Penyelia Pusat Mengundi Mohd Azmi Mat Husin (kiri) menutup pintu pagar tepat pada jam 6 petang menandakan tamat proses pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.20 Sungai Bakap di Sekolah Kebangsaan Jawi hari ini.Proses mengundi bagi PRK Sungai Bakap bermula sejak jam 8 pagi tadi selesai selepas sembilan pusat mengundi membabitkan 65 saluran ditutup tepat pada jam 6 petang tadi.--fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA

PH menampilkan seorang calon yang bersih dan berintegriti dalam PRK Sungai Bakap.

Beliau berpandangan, sekiranya Kerajaan Perpaduan khususnya PKR dan PH selepas ini tidak membina naratif nasional yang betul dan bukan bercakap sahaja tetapi melaksana dasar yang banyak memberi manfaat kepada golongan B40 dan M40, mereka akan memihak kepada kerajaan sedia ada.

Katanya, keadaan itu akan berlaku antaranya apabila rakyat dapat membeli beras putih tempatan dengan harga berpatutan, kos sara hidup seharian semakin ringan, inflasi menurun dan gaji pekerja bertambah sehingga rakyat boleh menarik nafas lega.

"Tidak wajar menyalahkan Anwar atau Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas kekalahan itu disebabkan mereka bergabung dalam Kerajaan Perpaduan yang dianggap reformasi politik yang 'songsang'.

"Jadi tidak hairan jika pengundi-pengundi di saluran lima, enam dan tujuh dalam PRK Sungai Bakap menolak calon PKR daripada PH yang mewakili Kerajaan Perpaduan," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram