[VIDEO] Lesen peniaga pasar borong KL dibekukan, ‘orang tengah’ kaut untung lebih RM4,000


  • Bizz
  • Ahad, 07 Jul 2024

Peniaga di Pasar Borong Kuala Lumpur menyuarakan kekecewaan selepas DBKL membekukan permohonan baharu lesen perniagaan mereka bermula awal tahun ini.

SEBAHAGIAN besar peniaga di Pasar Borong Kuala Lumpur menyuarakan kekecewaan selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membekukan permohonan baharu lesen perniagaan mereka bermula awal tahun ini.

Menurut salah seorang peniaga di pasar borong tersebut, Saifuldin Osman, 55, tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) membekukan permohonan baharu menyebabkan peniaga tidak dibenarkan untuk memohon lesen daripada Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi menjual barang kawalan seperti gula, minyak masak dan tepung.

Ujarnya, mereka hanya dimaklumkan langkah itu dibuat susulan kawasan tersebut dimonopoli oleh peniaga warga asing.

BACA LAGI: Curang, mentua antara punca utama pasangan muda bercerai

BACA LAGI: Ayat stereotaip permulaan curang, peguam syarie dedah skandal bermula di pejabat buat ramai suami tersakiti

1

​​​​​​Saifuldin menujukkan lesen perniagaan PBT milik perniagaannya yang sudah tamat tempoh.

“Jika tiada lesen daripada DBKL, KPDNK juga tidak akan meluluskan permohonan jualan barangan kawalan.

“Ini berlaku disebabkan jumlah peniaga warga asing yang terlalu ramai di kawasan ini.

“Jadi ia tidak adil kepada peniaga tempatan, kami yang terpaksa menanggung akibat daripada perbuatan orang lain,” katanya kepada Majoriti.

Saifuldin turut memaklumkan, pihaknya sudah membuat rayuan kepada DBKL, namun masih belum ada respons sehingga kini.

Tambahnya, situasi itu menyebabkan lebih 20 premis perniagaan tidak dapat memperbaharui lesen mereka sejak Februari lalu, sementara terdapat sebahagian kecil menunggu masa lesen tamat tempoh.

“Memang ramai yang rugi disebabkan tindakan ini, untuk saya sendiri, kami mengalami kerugian sekitar 40 peratus dalam tempoh sebulan.

“Saya terpaksa kurangkan pekerja kerana tidak dapat mengusahakan bisnes melibatkan barang kawalan tersebut, dengan nak tanggung bayaran sewa lagi,” jelasnya yang menjalankan perniagaan di kawasan itu selama 10 tahun.

2

Kebanyakan peniaga di Pasar Borong Kuala Lumpur mengalami kerugian selepas lesen mereka dibekukan.

Dalam perkembangan sama, Saifuldin turut mendedahkan, keadaan itu hanya akan memberi keuntungan kepada individu yang menawarkan khidmat sebagai ‘orang tengah’ untuk membantu peniaga memperbaharui lesen.

Katanya, ketika ini, ‘orang tengah’ mengenakan caj sehingga RM4,000 untuk perbaharui satu lesen bagi tempoh setahun, sedangkan kadar bayaran sebenar hanyalah antara RM90 hingga RM100 jika ia dibuat melalui saluran yang betul.

“Antara modus operandi yang dikenal pasti adalah mereka akan menggunakan alamat berbeza daripada alamat sebenar premis perniagaan.

“Jadi, pihak penguat kuasa sukar mengesan taktik pihak berkenaan kerana kebiasaannya mereka akan meneliti sekali lalu sahaja,” katanya sambil memberitahu isu ‘orang tengah’ itu sebenarnya sudah lama wujud.

Sehubungan itu, Saifuldin berharap agar pihak penguat kuasa dapat mempertimbangkan untuk menarik semula pembekuan lesen perniagaan untuk peniaga tempatan di Pasar Borong Kuala Lumpur. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram