Ketahui maksud produk insurans, takaful dengan pembayaran bersama dan deduktibel


  • Massa
  • Sabtu, 06 Jul 2024

ITO dikehendaki menawarkan produk MHIT yang mempunyai ciri-ciri pembayaran bersama sebagai pilihan berkuat kuasa pada 1 September depan.

SYARIKAT insurans dan pengendali takaful (ITO) dikehendaki menawarkan produk insurans dan takaful perubatan serta kesihatan (MHIT) yang mempunyai ciri-ciri pembayaran bersama sebagai pilihan berkuat kuasa pada 1 September depan.

Bank Negara (BNM) dalam satu kenyataan memaklumkan, pembayaran bersama produk MHIT dilaksanakan bertujuan menangani peningkatan inflasi kos perubatan yang berterusan.

Bagaimanapun menurutnya, ITO masih dibenarkan untuk menawarkan produk pembayaran balik kos perubatan sedia ada tanpa ciri pembayaran bersama, termasuk produk deduktibel kurang daripada RM500.

BACA LAGI: Kerajaan bakal naikkan kadar cukai perkhidmatan kepada 8 peratus

BACA LAGI: Insurans, takaful kenderaan dijangka naik 2 peratus, ramai risau kos sara hidup terus meningkat

"Produk MHIT dengan ciri-ciri pembayaran bersama lazimnya menawarkan kadar premium/caruman yang lebih rendah jika dibandingkan dengan produk yang sama tetapi tidak mempunyai ciri-ciri pembayaran bersama.

"Pembayaran bersama hanya diperlukan sekiranya tuntutan dibuat pemilik polisi/peserta takaful selain menggalakkan pengguna untuk mengambil peranan lebih aktif dalam penggunaan perkhidmatan penjagaan kesihatan mereka," katanya pada Sabtu.

Penguatkuasaan polisi itu turut mengundang perbincangan banyak pihak terutamanya di media sosial.

INSURANS

ITO dikehendaki menawarkan produk insurans dan takaful perubatan serta kesihatan (MHIT) yang mempunyai ciri-ciri pembayaran bersama.

Justeru seorang pengguna media laman X (Twitter) dengan nama akaun @syahirsyhr berkongsi penjelasan berhubung langkah yang dilaksanakan oleh BNM.

Individu tersebut berkata, pemegang polisi insurans atau takaful kesihatan sedia ada yang tidak berniat mengubah polisi mereka dari segi manfaat, had dan perlindungan tambahan tidak akan terkesan dengan pengumuman berkenaan.

Sebaliknya, ia hanya terpakai kepada pembeli produk insurans dan takaful kesihatan baharu dan pemegang polisi sedia ada yang berhasrat membuat perubahan kepada polisi mereka.

"Kedua-dua kumpulan berikut wajib menerima polisi dengan ciri pembayaran bersama (co-payment) untuk produk insurans dan takaful kesihatan," ciapnya pada Jumaat.

Pengendali akaun X itu turut menjelaskan mengenai produk insurans/takaful dengan pembayaran bersama dan deduktibel:

Berikut merupakan penjelasan lanjut mengenai produk insurans/takaful dengan pembayaran bersama dan deduktibel:

i) Apa itu produk insurans/takaful dengan pembayaran bersama berserta deduktibel?

Ia membawa maksud sebahagian daripada tuntutan untuk bil perubatan di hospital swasta perlu ditanggung pemegang polisi walaupun individu itu membayar premium pada setiap bulan atau tahun.

Sejumlah bayaran dalam bentuk deduktibel perlu dibayar terlebih dahulu sebelum syarikat insurans/takaful membayar baki bil perubatan pemegang polisi.

copay

Produk MHIT dengan ciri-ciri pembayaran bersama lazimnya menawarkan kadar premium/caruman yang lebih rendah.

ii) Berapa peratus kadar pembayaran bersama yang ditetapkan BNM?

- Lima peratus daripada jumlah tuntutan yang dibuat pemegang polisi, bermaksud jika bil perubatan pesakit berjumlah RM50,000 (tanpa deduktibel), pemegang polisi perlu membayar RM2,500 dan selebihnya dibayar oleh syarikat insurans/takaful.

dan/atau

- RM500 minimum deduktibel mesti dibayar oleh pemilik polisi

iii) Adakah syarikat insurans/takaful tidak lagi menyediakan produk insurans/takaful kesihatan tanpa pembayaran bersama dan deduktibel?

- Syarikat insurans/takaful dibenarkan untuk terus mempromosi dan menjual polisi insurans/takaful kesihatan tanpa pembayaran bersama dan deduktibel sedia ada

- Bagaimanapun bermula 1 Januari 2025, semua produk polisi kesihatan yang baharu perlu mempunyai ciri tersebut

iv) Apakah kelebihan polisi tersebut kepada pemegang polisi dan bakal pemilik polisi?

- Bayaran premium yang lebih rendah berbanding polisi tanpa pembayaran bersama dan deduktibel (tertakluk kepada syarikat insurans dan takaful)

v) Apakah keburukannya?

- Kepada pembeli produk baharu dan pemegang polisi yang membuat pengubahsuaian kepada polisi sedia ada, mereka akan menanggung lima peratus daripada jumlah tuntutan bil perubatan daripada poket mereka sendiri.

v) Apakah sebab pelaksanaan polisi ini?

- Untuk menggalakkan penggunaan perkhidmatan kesihatan yang lebih bertanggungjawab.

- Untuk merendahkan kos yang perlu dibiayai oleh syarikat insurans/takaful dan juga pemegang polisi yang lain (pool), mengelakkan tuntutan palsu dan memastikan kemampanan produk insurans dan takaful kesihatan.

BNM1

Pelaksanaan polisi tersebut bertujuan menggalakkan penggunaan perkhidmatan kesihatan yang lebih bertanggungjawab.

Sebagai rumusan:

1) Pemegang polisi sedia ada tidak akan terkesan dengan pelaksanaan ciri berkenaan kecuali jika ingin membuat perubahan polisi pada masa hadapan, tapi bakal pembeli insurans/takaful kesihatan terpaksa menerima ciri pembayaran bersama dan deduktibel dengan kemungkinan bayaran premium yang lebih rendah.

2) Syarikat insurans dan takaful menanggung kerugian selepas pandemik Covid-19 yang menyaksikan peningkatan kos bil perubatan dan kadar insiden kesihatan (rawatan di hospital).

3) Polisi insurans dan takaful (nyawa) dan kesihatan menjadi pilihan sebahagian rakyat Malaysia. Menurut dapatan, kadar penembusan insurans hayat dan takaful keluarga adalah 54 peratus pada tahun 2022, bermakna lebih separuh rakyat negara ini mempunyai insurans/takaful sebagai perlindungan.

4) Menurut dapatan daripada Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM), sebanyak 55 peratus daripada rakyat Malaysia mempunyai simpanan kurang RM10,000 pada setiap masa.

5) Pemegang polisi sedia ada akan terus menanggung kos kesihatan secara langsung dengan semakan kadar premium yang semakin tinggi seperti dialami pemegang polisi sejak beberapa tahun lepas.

6) Pemegang polisi baharu pula perlu mempunyai simpanan yang mencukupi untuk menampung pembayaran bersama dan deduktibel yang diwajibkan BNM.

Dalam perkembangan sama, isu kadar kenaikan premium insurans perubatan dan takaful turut dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dalam Sidang Kamar Khas di Dewan Rakyat pada 1 Julai lalu.

Pertanyaan itu kemudian dijawab oleh Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying, yang memaklumkan tentang dasar baharu BNM itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram