MINAT mendalam terhadap dunia pembuatan kek dan pastri sejak usia 12 tahun menjadi titik permulaan perjalanan keusahawanan Mohd Rahmat Bahaudin, 38.
Siapa sangka, bermula dengan sifar asas dalam bidang pastri, dia yang lebih dikenali sebagai Chef Kecik kini memiliki tiga kafe, dua dapur pusat, satu gudang dengan lebih 105 kakitangan.
Berbekalkan Ijazah Sarjana Muda dalam Sains dan Teknologi Makanan daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, dia memulakan bisnes jualan brownies dari rumah pada awal 2018.
BACA LAGI: [VIDEO] ‘Peniaga pasar malam memang awesome,’ lelaki terharu anak autisme disantuni dengan tenang
Hanya bertemankan mesin pengadun, jejaka kelahiran Kuala Kangsar, Perak itu menjual brownies dan biskut sambil menguruskan segala-galanya sendiri.
“Waktu itu sayalah yang jadi admin, buat produk, bungkusan, semua saya buat seorang.
"Permulaan bisnes yang dilakukan juga sekadar untuk bertahan hidup bagi membayar sewa rumah, kereta dan hutang-hutang lain," katanya kepada Majoriti.

Chef Kecik pernah menjadi pemandu e-hailing bagi menampung modal membeli bahan kek.
Konsisten berkongsi hasil pastri di Instagram membuka ruang baharu buatnya apabila para pengikut mula bertanya tentang kelas pembuatan.
Bermula dengan dua pelajar di rumahnya di Semenyih, Selangor, jumlah itu meningkat hingga 12 orang bagi setiap sesi, dengan peserta datang dari seluruh Malaysia termasuk Johor, Terengganu, Kedah dan Kelantan.
Disebabkan ramai tidak mampu hadir kerana jarak dan kos, Mohd Rahmat mula memperkenalkan kelas secara dalam talian
Ujarnya, di sinilah perniagaannya benar-benar melonjak.
"Sehingga kini, lebih 90,000 pelajar telah menyertai kelas dalam talian saya dan tidak hanya dari Malaysia, kita juga ada dari Indonesia, Singapura serta Korea.
"Ramai pula yang bertanya-tanya, saya tak nak buka kafe ke? Sebab mereka nak merasai sendiri produk saya," ceritanya.
Menurut anak bongsu daripada lapan beradik itu lagi, dia kemudian memutuskan untuk membuka kafe pertama di tingkat atas bangunan dekat Semenyih.
Jelasnya, kafe pertama agak kecil sehingga menyukarkan pelanggan untuk menikmati makanan dengan selesa.
“Waktu itu orang datang terlalu ramai sampai tempat duduk pun tak cukup. Dari situlah kami mula terfikir untuk buka kafe sebenar yang lebih teratur,” katanya.
Usaha itu akhirnya direalisasikan dengan pembukaan kafe pertama berkeluasan 2,400 kaki persegi berdekatan sebuah bangunan lama.
"Kami lancarkan outlet terbaharu berkeluasan 5,000 kaki persegi menggantikan premis lama yang lebih kecil.
"Sokongan padu daripada pengikut dan pelanggan tetap terus melonjakkan perkembangan perniagaan saya.
"Sehingga kini, perniagaan berkembang ke tiga cawangan utama termasuk di Kajang dan Bukit Bintang," katanya.
Kongsinya lagi, beliau enggan 'menjaja' kesusahannya kepada ahli keluarga yang lain.
Malah pada awalnya, Chef Kecik memilih untuk merahsiakan keputusan menjalankan bisnes daripada pengetahuan keluarga.
“Dulu bila tak ada duit, saya tak akan balik kampung sebab tak nak mereka tahu saya tengah susah.
"Bila dah ada simpanan dan nak buka kedai sendiri, baru saya maklum kepada mereka,” katanya.
Kini, keluarga menjadi sebahagian daripada perjalanan bisnesnya, termasuk kakaknya yang menghasilkan produksi biskut sendiri dan menjadi pembekal kepada syarikat beliau.
Masa sukar dan depresi

Konsisten berkongsi hasil pastri di Instagram membuka ruang baharu buat Chef Kecik apabila para pengikut mula bertanya tentang kelas pembuatan.
Sebelum bisnes stabil, Chef Kecik pernah bekerja di kilang bahan kimia, malah pernah gagal bersama rakan kongsi dalam bisnes terdahulu sebelum berhijrah ke Semenyih untuk mula dari bawah.
Malah, dia juga pernah melalui episod kemurungan selama dua bulan akibat kepenatan melakukan rutin yang sama sendirian tanpa perkembangan besar.
"Saya tengok baki akaun saya. Duit memang cukup-cukup makan. Pernah pada 2018, saya terpaksa pinjam duit RM10 daripada kawan semata-mata nak keluarkan wang RM50, supaya ada baki dalam akaun bank.
"Saya cakap pada diri sendiri, aku tak ada duit, aku kena bangun kerja," ujarnya yang pernah menjadi pemandu e-hailing bagi menampung modal membeli bahan kek.
Chef Kecik mengakui pernah mengalami kerugian sekitar RM6,000 apabila ratusan produk pastri buatannya terpaksa dibuang akibat kesilapan dari segi inti.
Namun baginya, kritikan adalah ruang untuk memperbaiki diri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
