Ada katerer tolak tempahan kecil, pengusaha lain anggap 'order' mini rezeki tambahan


  • Bisnes
  • Sabtu, 22 Nov 2025

Tempahan bagi jumlah kecil makin meningkat kerana tak ramai katerer mahu mengambil tempahan berskala kecil. — Threads/zack.zulkifli

ISU tempahan makanan dalam jumlah kecil antara 10 hingga 20 orang mencetuskan perdebatan dalam kalangan pengusaha katering.

Seorang pengusaha katering meluahkan rasa hairan apabila segelintir pelanggan tetap mencari khidmat katering untuk majlis berskala kecil, namun enggan membayar harga lebih mahal yang dikenakan daripada caj biasa.

As a caterer, saya tak faham kenapa nak cari katerer untuk acara 10 hingga 15 pax. Tak boleh ke tapau saja daripada mana-mana restoran mahal yang makanannya sedap. Lepas itu, beli lah bekas cantik-cantik.

"Bukan apa, sebab bila kita (pihak katering) charge tiga kali ganda sebab food dan service, mereka tak boleh terima. Kadang-kadang bukannya pelanggan tak tahu, tapi cuma cuba nasib,” kata Nik Irma Rita Ns di Thread.

BACA LAGI: Sediakan ruang terapi, pasangan suami isteri ubah operasi butik jadi 'hotel mewah' kucing jalanan

BACA LAGI: Yoga dan pilates berlatarkan padang golf, doktor guna kepakaran ceburi bidang 'wellness'

Namun, bagi peniaga lain, tempahan kecil tetap memberikan pulangan yang berbaloi dan menjadi rezeki tambahan.

Pengusaha katering mini, The Shahimin's berkata, sebenarnya ramai pelanggan memahami konsep harga hidangan berskala kecil, sekali gus memudahkan operasi mereka dalam memenuhi permintaan pasarannya.

Menurutnya, sebagai penyedia makanan yang memang memberi tumpuan khusus kepada katering mini, tempahan untuk 10 orang ke bawah sudah menjadi kebiasaan, terutama daripada syarikat yang hanya mempunyai jumlah staf terhad atau majlis yang dianjurkan berskala kecil.

“Kami bersyukur kerana ramai pelanggan memang faham soal harga. Mereka tahu bahawa tempahan dalam kuantiti sedikit selalunya menyebabkan kos per pax menjadi lebih tinggi,” katanya.

 

 

Tambahnya lagi, ada juga pelanggan yang membuat pesanan bukan untuk majlis, tetapi kerana inginkan sajian yang memberi ‘home-cooked food vibes’.

“Ada yang memang order untuk makan tengah hari atau makan malam di rumah setiap hari,” jelasnya, sambil menambah permintaan terhadap hidangan sebegitu semakin meningkat.

Bagi seorang peniaga lain, zack.zulkifli, dia tetap menerima tempahan kecil asalkan dapat duit tambahan.

"Sikit atau banyak orang tempah, itulah rezeki yang ALLAH bagi. Walau rendang ayam seekor pun saya ambil tempahan. Seronok bila tengok orang puas makan masakan kita,” katanya.

Seorang lagi pengusaha memberitahu bahawa permintaan bagi jumlah 10 hingga 20 pax sebenarnya semakin meningkat kerana tidak ramai katerer yang mahu mengambil tempahan berskala kecil.

"Kadang-kadang kalau order kuantiti kecil ini selalunya mesyuarat antara lembaga pengarah dan pihak pengurusan, kerana tak ramai antara 10 hingga 20 orang sahaja tapi presentation food kena elok.

"Pejabat jarang ada set bufet yang proper tapi katerer ada semua itu. Kalau nak beli semua, takut tersimpan lama sampai tak guna. Baiklah order luar," kata nurulizswani. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram