[VIDEO] Ambil iktibar staf wanita dirompak ketika bekerja seorang diri, usahawan tudung Terengganu tingkatkan keselamatan butik


  • Tular
  • Isnin, 10 Nov 2025

Tangkap layar kejadian rompak di sebuah premis menjual tudung di Jerteh pada Ahad.

KESELAMATAN staf wanita yang bekerja seorang diri menjadi isu kritikal apabila mereka berisiko menjadi sasaran jenayah.

Kejadian rompakan yang berlaku di Butik Emaariina Hijab dekat Jerteh, Terengganu membuktikan betapa mudahnya staf wanita terdedah pada jenayah apabila premis kurang langkah keselamatan dan berada di lokasi yang sunyi.

Dalam insiden itu, seorang pekerja wanita berada di premis menjual tudung berkenaan bekerja seorang diri ketika perompak mengambil kesempatan menyamun mangsa.

BACA LAGI: [VIDEO] Penjawat awam Kedah dapat bantuan khas RM2,000

BACA LAGI: [VIDEO] 'Dah tutup pintu tingkap pun dengar lagi', warga Setiawangsa kesal PBT lulus anjur konsert, festival makanan tanpa fikir keselesaan penduduk

Melalui maklumat awal yang dikongsikan,suspek berjaya melarikan telefon pintar, wang tunai dan dua gelang emas milik mangsa. 

Kejadian itu turut tular di laman media sosial selepas pemilik buktik berkenaan, Nur Emarina berkongsi detik cemas itu di Facebook peribadinya pada Ahad.

Katanya, kejadian berlaku ketika seorang pekerja pulang lebih awal, meninggalkan seorang pekerja wanita seorang diri di premis.

"Sebab itu tinggal dia seorang. Mujurlah tiada kecederaan serius, tetapi pengalaman ini cukup mengejutkan," ujar Emarina.

Emarina turut memohon orang ramai yang mempunyai rakaman rakaman litar tertutup (CCTV) di kawasan sekitar butik untuk berkongsi rakaman suspek.

"Ini demi keselamatan staf dan butik,” katanya.

Susulan daripada kejadian itu, Emarina memaklumkan butik miliknya itu akan beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 6 petang.

Tambahnya lagi, butik tersebut juga akan ditutup sehingga Selasa bagi membolehkan penambahbaikan keselamatan dijalankan, termasuk pemasangan kunci automatik pada cermin dan sistem penggera tambahan.

Emarina turut menegaskan penyebaran video kejadian hanyalah untuk mendapatkan rakaman tambahan dan beliau mengucapkan terima kasih kepada semua yang sudi membantu.

"Saya belajar dari pengalaman ini dan akan terus berusaha meningkatkan keselamatan staf dan premis, terutama keselamatan staf wanita. Bagi yang ingin berkongsi rakaman, dipersilakan. Terima kasih kerana membantu," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superitendan Azamuddin Ahmad mengesahkan kejadian terbabit.

Katnya, suspek yang memakai topi keledar warna biru dan berjaket coklat gelap bertindak merampas dua utas rantai tangan dan seutas rantai leher dari mangsa.

"Kejadian berkenan berlaku di tempat kerja mangsa iaitu Butik Emaariina Hijab.

"Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kesan calar di bahagian tangan dan leher serta anggaran kerugian kira-kira RM15,000,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah beliau, siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan suspek masih dalam buruan pihaknya.

Beliau turut meminta saksi kejadian menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Nurazam Rapail di talian 09-6956222 sambungan 5913 bagi membantu siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram