AUTISME adalah satu keadaan perkembangan yang mempengaruhi kemampuan seseorang dalam berkomunikasi dan berinteraksi sosial.
Bagi ibu bapa, setiap detik bersama anak autisme memerlukan kesabaran, pengertian dan keprihatinan yang tinggi.
Namun begitu, tidak ramai yang tahu betapa mencabarnya berdepan dengan kanak-kanak yang menghidap autisme.
Malah, ada segelintir masyarakat yang kurang memahami keperluan mereka sehingga mudah cepat hilang sabar atau berasa terganggu dengan kelakuan kanak-kanak istimewa ini.
Keadaan ini kadang kala menimbulkan salah faham, menyebabkan ibu bapa terpaksa berdepan tekanan tambahan dalam menguruskan anak mereka di tempat awam.
Namun, perkongsian di laman Thread Abdul Malek MB menjadi tular apabila memaparkan momen mengharukan seorang peniaga pasar malam menunjukkan sikap prihatin terhadap anak lelakinya, Ibrahim, yang menghidap autisme.
Dalam video yang dikongsikan, kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun itu kelihatan seronok menikmati suasana pasar malam.
Lebih mengharukan lagi, peniaga roti canai yang tidak didedahkan namanya itu dilihat tenang dan sabar melayan kanak-kanak istimewa tersebut, walaupun pada masa yang sama tetap melayan pelanggan lain.
"Peniaga pasar malam memang awesome. Rajin, baik dan lembut santuni anak autisme. Thank you," tulisnya.
Melalui video yang dikongsikan, kedengaran Abdul Malek beberapa kali meminta maaf ketika merakam anaknya.
"Sorry bang," katanya sambil ketawa kecil melihat Ibrahim bergembira.
Peniaga itu hanya membalas ringkas, "Tak apa bang," tanpa kelihatan terganggu oleh situasi tersebut.
Perkongsian itu menarik perhatian ramai warganet, yang meluahkan rasa terharu dan kagum terhadap kesabaran peniaga berkenaan.
Salah seorang pengguna Threads, Zulafifi, menyifatkan tindakan peniaga itu menunjukkan sesiapa yang menyantuni mereka memperoleh ganjaran syurga.
"Dunia anak autisme yang kita susah nak faham. Syurga untuk mereka dan untuk semua yang menyantuni mereka," tulisnya.
Sementara itu, pengguna lain, https.mxie, mendoakan agar rezeki peniaga itu dan keluarga Abdul Malek murah serta setiap kebaikan mereka mendapat ganjaran pahala.
Hilmi_6047 pula menegaskan bahawa walaupun cuaca panas, kebahagiaan Ibrahim adalah keutamaan, sambil memuji sikap peniaga tersebut yang menikmati suasana itu sama seperti kanak-kanak itu sendiri.
Situasi itu bukan sahaja menyentuh hati ramai, malah mengingatkan masyarakat tentang pentingnya kesabaran dan sikap prihatin terhadap kanak-kanak istimewa.
Tindakan peniaga pasar malam itu juga jelas meninggalkan kesan positif, bukan sahaja kepada ibu bapa, malah kepada orang ramai yang menyaksikan detik manis tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
