Lebih enam dekad dalam industri paip, ahli perniagaan HK dedikasikan hidup demi tandas awam bersih


  • Bisnes
  • Isnin, 24 Nov 2025

Hung bergambar di luar tandas awam Hoi Hing Road di Tsuen Wan. — Agensi/ Jonathan Wong

BAGI Henry Hung Chi-kuen, seorang veteran dalam industri paip dan sistem saliran dengan pengalaman lebih 60 tahun, tandas bukan sekadar sumber rezeki malah telah menjadi satu bentuk obsesi.

“Ke mana saja saya pergi di seluruh dunia, tempat pertama yang saya tuju ialah tandas awam,” katanya penuh teruja.

Lelaki berusia 78 tahun itu turut mengumpul cenderamata bertemakan tandas dari pelbagai negara dan mempamerkannya dengan bangga di belakang mejanya.

BACA LAGI: Pesanan batal bertukar rezeki, peniaga hotdog di TTDI kongsi pengalaman 'deal order' sampai jadi

BACA LAGI: 'Kenapa tak 'order' lori sejuk beku?', pemandu terkejut dapat 'job' kena hantar 80 ekor ayam guna kereta

Tandas awam Lan Kwai Fong dinamakan tandas terbersih di Hong Kong, meskipun menerima jumlah pengguna yang tinggi. — Agensi/ Dickson Lee

Sering digelar 'Dr Toilet', Hung ialah ahli pengasas dan presiden sebuah pertubuhan kebajikan bukan berasaskan keuntungan yang memperjuangkan persekitaran tandas yang bersih, mudah diakses dan selamat.

Persatuan Tandas Hong Kong itu terkenal dengan tinjauan tahunannya yang menilai tandas awam terbaik dan terburuk di bandar tersebut. 

Minggu ini, persatuan itu menamakan tandas awam di kawasan hiburan Lan Kwai Fong sebagai yang terbersih di Hong Kong, meskipun menerima jumlah pengguna yang tinggi.

Hung berkata, kerjayanya selama lebih enam dekad telah menyemarakkan minatnya terhadap tandas, namun wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada 2003, benar-benar mendorongnya melakukan sesuatu demi kesihatan dan kesejahteraan masyarakat.

Penjagaan kebersihan tandas perlu dipupuk agar masyarakat menggunakan kemudahan awam itu secara berhemah. — Agensi

Beliau mengimbas kembali bagaimana kesedarannya itu, ditambah pertemuan secara kebetulan dengan individu yang sefahaman di sebuah acara di Beijing pada 2005, akhirnya membawa kepada penubuhan persatuan tersebut pada tahun sama.

Menerusi persatuan itu, mereka mengeluarkan ranking sulung tandas awam Hong Kong setahun kemudian untuk menaikkan profil entiti berkenaan.

Bagaimanapun, mereka hanya berjaya menerbitkan semula tinjauan seterusnya pada 2018 kerana kekurangan tenaga kerja.

Menceritakan pengalamannya memeriksa tandas selama bertahun-tahun, Hung berkata, tandas paling teruk pernah dilihat ialah sebuah tandas di laluan mendaki di Kam Tin, lima tahun lalu, yang meninggalkan kesan mendalam padanya.

“Macam tiada siapa mengurus atau menjaganya. Baunya sangat busuk dan ada orang siap membuang najis di bahagian urinal tanpa menekan pam flush. Memang menjijikkan. Ketika itu, saya rasa nak muntah,” katanya.

Hung gemar mengumpul cenderamata bertemakan tandas dari pelbagai negara. — Agensi

Tandas awam paling bersih dan paling diingatinya pula terletak di Lantau Link Viewing Platform, yang menurutnya kekal dalam keadaan baik bertahun-tahun selepas dinobatkan sebagai tandas terbaik dalam tinjauan mereka.

“Pengurusan tandas sangat penting di samping pendidikan dan kesedaran kepada masyarakat. Mereka perlu tahu cara menggunakan tandas dengan berhemah,” ujarnya.

Selain ranking tahunannya, persatuan itu turut menjalankan pelbagai usaha advokasi, termasuk cadangan kontroversi memasang urinal wanita di tandas awam bagi mengurangkan masa menunggu yang panjang untuk pengguna wanita.

Kumpulan itu turut merancang meneliti isu kekurangan tandas awam dalam sistem pengangkutan awam di Hong Kong.

Hung, yang bakal mencecah usia 80 tahun dalam dua tahun lagi, berkata beliau tidak bercadang untuk memperlahankan langkah dan yakin mampu mencari pengganti meskipun bidang tersebut kurang diminati ramai.

“Saya boleh katakan persatuan ini diusahakan dari bawah dengan tangan saya sendiri. Saya benar-benar tidak mahu ia lenyap begitu sahaja,” katanya.

“Untuk mana-mana persatuan atau sektor, mesti ada seseorang yang memimpin supaya usaha dapat diteruskan. Ini harapan saya.

“Walaupun saya perlu lakukan kerja ini sampai umur 100 tahun, saya akan teruskan,” katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram