SEORANG pengusaha makanan yang menjalankan perniagaan menjual hotdog di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur berkongsi pengalaman apabila pesanan yang terpaksa dibatalkan di aplikasi penghantaran akhirnya membawa kepada pelanggan sebenar.
Kejadian itu berlaku sekitar 10.38 malam, pada Sabtu apabila aplikasi Grab kedai berkenaan tiba-tiba aktif dengan sendiri walaupun premis masih belum bersedia menerima tempahan pelanggan.
Menyedari situasi itu, pemilik Sausage Sizzle My itu tiada pilihan lain melainkan terpaksa membatalkan pesanan tersebut serta-merta.
BACA LAGI: Ada katerer tolak tempahan kecil, pengusaha lain anggap 'order' mini rezeki tambahan
Namun, bagi mengelakkan salah faham, pemilik bertindak menghubungi pelanggan secara peribadi dengan memaklumkan keadaan sebenar.
Menerusi hantaran di Threads, dia memaklumkan sudah memohon maaf kepada pelanggan atas pembatalan tempahan tersebut.
Malah, pemilik turut menghantar menu, memaklumkan waktu operasi serta bertanya lokasi pelanggan dengan harapan masih dapat memenuhi keinginannya.
Usaha itu membuahkan hasil apabila pada 10.49 malam, pelanggan terbabit membalas mesej dan membuat pesanan terus tanpa menunjukkan rasa marah.
Menurutnya, pelanggan itu hanya benar-benar mahukan hotdog yang dipesan.
"Saat-saat seperti ini mengingatkan kami mengapa perkhidmatan pelanggan sangat penting," ujarnya sambil menyifatkan situasi itu boleh menyebabkan dia kehilangan pelanggan, namun perkara tersebut dapat diatasi dengan komunikasi jelas.
Dengan pembayaran dibuat pada 10.57 malam, pelanggan terbabit turut memaklumkan jangkaan ketibaan penghantar supaya makanan dapat disediakan segar.
"Pesanan diambil rider pada 11.11 malam," katanya dengan memuat naik gambar sebagai bukti kepada pelanggan tadi.
Pemilik premis itu menyifatkan pengalaman tersebut sebagai peringatan bahawa komunikasi berhemah dan keikhlasan masih dihargai, terutama dalam perniagaan kecil.
“Untuk jenama F&B kecil seperti kami, perkara begini memang beri kesan besar. Pesanan batal selalunya menyebabkan kami kehilangan pelanggan tapi di sebaliknya, ia menjadi bukti bahawa keikhlasan masih berbaloi,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
