'Kenapa tak 'order' lori sejuk beku?', pemandu terkejut dapat 'job' kena hantar 80 ekor ayam guna kereta


  • Bisnes
  • Ahad, 23 Nov 2025

Penghantaran ayam mentah perlu dikendalikan dengan cara yang bersih menggunakan lori sejuk beku. — Gambar hiasan

SEORANG pemandu perkhidmatan penghantaran barang meluahkan rasa kesal terhadap sikap segelintir pelanggan yang didakwa tidak jujur ketika membuat tempahan penghantaran barangan.

Dalam satu hantaran di Facebook, pemandu berkenaan mendakwa dia terpaksa menghantar ayam mentah dalam kuantiti besar menggunakan kereta yang dianggap kurang sesuai.

“Kadang-kadang aku rasa pelanggan ni makin biol dan tak ada timbang rasa. Ada ke patut job kereta suruh angkut ayam 80 ekor macam ni? Seekor ayam hampir 2 kilogram (kg), (kalau) 80 ekor dah lebih 150kg," katanya.

BACA LAGI: Ada katerer tolak tempahan kecil, pengusaha lain anggap 'order' mini rezeki tambahan

BACA LAGI: Sediakan ruang terapi, pasangan suami isteri ubah operasi butik jadi 'hotel mewah' kucing jalanan

Perkongsian di laman Facebook Lalamove Riders Community Malaysia itu mengundang pelbagai reaksi netizen, termasuk yang mempertikaikan cara pengendalian ayam mentah tersebut yang kelihatan diletakkan terus di lantai kereta tanpa kotak atau bekas.

“Boleh ke letak ayam dekat lantai macam tu? Sepatutnya guna kotak atau raga,” tulis seorang pengguna, Zaf Uan.

Beberapa netizen turut mengingatkan bahawa penghantaran makanan mentah tanpa kawalan boleh menimbulkan risiko kerosakan dan pencemaran.

“Kalau macam ni boleh repot Jabatan Kesihatan. Ayam mentah ada potensi pembiakan kuman salmonella jika tidak dikendalikan dengan cara yang bersih dan betul,” kata seorang lagi pengguna, Adli Maharon di ruangan komen.

"Sepatutnya ayam atau bahan mentah kena penghantaran menggunakan lori sejuk beku supaya ayam dapat dipastikan kesegarannya dan mengelakkan pencemaran bakteria.

"Ini kalau pakai kereta, kenderaan pun berbau hanyir nanti," tulis AzharFaliq.

Dalam masa sama, seorang lagi pemandu menggunakan nama Motivated1978 mencadangkan supaya syarikat perkhidmaran itu memperkenalkan caj tambahan yang boleh dikenakan terus oleh pemandu terhadap pesanan berat atau luar kebiasaan.

Mereka mendakwa sistem komisen yang tinggi serta caj tertentu yang digabungkan dalam fee platform menyebabkan pemandu terpaksa menanggung kerja tambahan tanpa bayaran setimpal.

"Jangan pihak korang (Lalamove) 'telan' sampai 21 peratus tapi kerja macam cap ayam. Lagi satu caj job door-to-door service jangan disekalikan dalam fee sebab ia pun masuk sekali dalam 21 peratus tu. 

"Kena win-win situation, ini tidak, rider dan pemandu kena gasak macam hamba. Sebab tu ramai buat job tepi, lagi untung,” tulisnya.

Netizen mendesak agar platform penghantaran itu lebih telus, adil dan menjaga kebajikan pemandu supaya insiden sedemikian tidak terus berulang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram