KOMITED untuk meningkatkan kesedaran dan pendedahan terhadap kepentingan pemuliharaan alam sekitar dan hidupan liar dalam kalangan masyarakat, progam Jelajah Sawit Hijau anjuran Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) diteruskan di Zon Selatan.
Acara siri ketiga yang berlangsung di pusat beli-belah Paradigm Mall, Johor Bahru pada Sabtu ini berjaya menarik minat para pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat dan latar belakang.
Tambah menarik, apabila tapak acara bagaikan pusat sehenti konsep infotainment buat seisi keluarga berkumpul pada hujung minggu bagi menimba ilmu mengenai ekosistem hidupan liar dan industri sawit tanah air, sekali gus menyertai variasi aktivti menarik disediakan di setiap reruai.

Sesi kuiz Kahoot yang memberi pendedahan lebih luas tentang kelestarian alam kepada pengunjung.
Pengurus Besar MPOGCF, Hairulazim Mahmud berkata, sambutan pengunjung amat memberangsangkan dan memberi respons positif kepada usaha program sama seperti sokongan diterima pada acara siri 1 (Kedah) dan siri 2 (Terengganu).
"Sebaik sahaja program bermula sehingga melabuhkan tirai pengunjung begitu sporting menyertai bermacam-macam aktiviti antaranya kuiz Kahoot dan permainan menarik disediakan di setiap reruai rakan strategik.
"Penglibatan mereka (para pengunjung) secara tidak langsung menunjukkan tahap pemahaman terhadap kelestarian alam dan pemuliharaan hidupan liar semakin meningkat.
"Apatah lagi, hari ini pelbagai pendekatan interaktif digunakan bagi memastikan mesej berkaitan termasuk landskap sawit mampan dapat disampaikan dengan berkesan," katanya ketika ditemui Majoriti pada Jelajah Sawit Hijau MPOGCF siri ketiga ini.

Pengurus Besar MPOGCF, Hairulazim Mahmud.
Turut hadir Pengurus Komunikasi Strategik MPOGCF, Tuan Nazuri Tuan Ismail dan Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid (DJ Lin).
Memilih tagline, Konservasi Kunci Sawit Mampan, Jelajah Sawit Hijau dibawakan dengan kerjasama Suria FM dan portal Majoriti, Vertikal Melayu milik Star Media Group.
Acara siri ketiga dicetuskan MPOGCF itu turut menampilkan rakan strategik Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor, Pengurusan dan Ekologi Gajah Malaysia (MEME), Earthworm Foundation (EF), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Johor dan Johor Plantations Group Berhad (JPG).
Matlamat utama adalah untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai inisiatif pemuliharaan alam sekitar yang dijalankan industri sawit negara.
Pada masa sama, bertujuan menepis persepsi negatif terhadap minyak sawit Malaysia di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Melalui kempen kesedaran awam seumpama ini pelbagai aktiviti dijalankan bagi menyalurkan maklumat, sekali gus menarik minat masyarakat khususnya generasi muda terhadap kehidupan alam semula jadi di Malaysia.

Karmilah (gambar kiri), Muhammad Noorizan dan Roszana antara pengunjung yang hadir pada Jelajah Sawit Hijau MPOGCF.
Menurut seorang pengunjung, Karmilah Md Khalid, 46, menerusi program tersebut beliau memperoleh pelbagai ilmu tentang kepentingan industri sawit dalam kegunaan harian.
Sebagai suri rumah, maklumat disampaikan terutamanya berkaitan penghasilan minyak masak membantu mengelak persepsi negatif dalam kalangan masyarakat tempatan.
"Banyak yang dipelajari menerusi program ini seperti meningkatkan pemahaman dan pendedahan khususnya bagi golongan suri rumah," jelasnya.
Bagi Muhammad Noorizan, 31, dan isterinya, Roszana, 30, pula, acara berkenaan secara tidak langsung memberi waktu berkualiti bersama anak-anak.
"Hari ini anak saya dapat mengenali perihal hidupan liar dan teruja apabila dapat memegang kulit haiwan yang diawet di booth PERHILITAN," ujarnya.

Dhia Raisha (gambar kiri) dan Gan Si Yu antara pemenang utama pertandingan mewarna.
Selain aktiviti di booth, Jelajah Sawit Hijau siri ketiga juga mengadakan pertandingan mewarna, teka berat sawit, kuiz, segmen podcast bersama pihak MPOGCF dan rakan strategik serta sesi beramah mesra dengan penyampai radio Suria FM.
Pada acara kali ini, sesi mewarna yang terbahagi kepada kategori A (usia 10-12 tahun) dan kategori B (usia 6-9 tahun) disertai seramai 31 kanak-kanak.
Bagi pemenang pertama kategori B, Dhia Raisha Rafid, 9, dia tidak menyangka hasil kreativiti mewarna melayakkannya membawa pulang wang tunai sejumlah RM300 dan pelbagai hadiah sampingan menarik, manakala pemenang tempat kedua kategori A, Gan Si Yu, 10, turut berkongsi kegembiraan sama.
Si Yu menyifatkan aktiviti sedemikian memberinya peluang mempelajari tentang kepentingan hidupan liar dan alam sekitar di Malaysia.

DJ Lin turut hadir sepanjang program berlangsung.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, DJ Lin menjelaskan bahawa program infotainment berkenaan sekali lagi berjaya menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat.
"Bukan sahaja aktiviti dianjurkan menjadi perhatian, malah kehadiran penyanyi popular tempatan seperti Siti Nordiana, Black dan Ezad Lazim membuatkan pengunjung tidak berganjak dan turut menyanyi bersama.
"Justeru, pada kesempatan ini juga saya ingin mengajak orang ramai memeriahkan dan memberi sokongan pada siri akhir Jelajah Sawit Hijau MPOGCF yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 22 November ini," tuturnya.
Acara kemuncak Jelajah Sawit Hijau MPOGCF akan berlangsung di pusat beli-belah Melawati Mall, Kuala Lumpur minggu depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
