Projek DIY ubah suai laman rumah jadi taman mini, tetap muat parkir kereta, motosikal


  • Hias
  • Khamis, 13 Nov 2025

Halaman rumah yang diubah suai menjadi taman mini dengan tempat untuk sekeluarga bersantai.

TIDAK lengkap rasanya sesebuah rumah jika tiada sumber hijau walau sekadar pokok hiasan kecil di tepi tingkap.

Elemen semula jadi itu juga dilihat semakin menjadi keutamaan dalam rekaan dan dekorasi kediaman moden.

Bukan sahaja untuk mencantikkan ruang atau sudut rumah, tetapi ia bertujuan mewujudkan suasana yang lebih segar dan menenangkan.

BACA LAGI: Saling kerjasama, suami jaga anak sanggup redah hujan ambil stok susu badan di pejabat isteri

BACA LAGI: Terduduk lepas dibebani hutang, isteri kaki shopping sedar hikmah dapat suami 'kedekut', jodoh tak sekufu

Trend tersebut turut berkembang dalam kalangan pemilik rumah termasuk pencipta kandungan yang gemar berkongsi rutin dekorasi di media sosial.

Memilih untuk menyediakan ruang khas untuk sudut hijau di halaman rumah, pemilik akaun Instagram @fatinhochakk berkesempatan berkongsi projek DIY (do it yourself).

Menerusi video dikongsikan baru-baru ini, wanita tersebut mengasingkan separuh ruang di halaman luar rumah untuk dijadikan taman mini.

Mengambil sudut tepi, pelbagai jenis pokok dan bunga dari saiz kecil hingga besar disusun rapi di sekeliling dinding putih.

Sementara itu, tapaknya pula ditambah dengan susunan batu bata merah dan jubin kayu supaya kelihatan lebih kemas.

Video sama turut memaparkan proses awal memasang jubin sendiri dengan menggunakan campuran simen.

Dengan beberapa hiasan lain seperti batu-batu kecil, meja dan kerusi sekali gus menambahkan elemen estetika taman mini di halaman luar rumah teresnya.

Menariknya, sudut taman mini tersebut tidak mengambil ruang besar dan masih boleh memuatkan dua kenderaan di kawasan sama.

"Ramai fikir bila dah buat taman mini, kenderaan tak boleh parkir sekali.

"Tetapi tengoklah, kawasan beranda saya masih luas, kereta dan motosikal semua boleh muat lagi," tulisnya.

Idea tersebut secara tidak langsung menjadi sumber inspirasi kepada pemilik rumah lain yang mungkin memasang impian untuk menghias halaman dengan tanaman hijau. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram