DIKENALI sebagai individu terkaya di Singapura, Goh Cheng Liang sempat mengukir nama dalam dunia perniagaan sebelum menghembuskan nafas terakhir pada Ogos lalu.
Meskipun terkenal dengan julukan taikun industri cat, Cheng Liang ternyata perlu menempuhi kepahitan hidup yang serba daif sebelum memulakan perjalanan bisnesnya.
Di awal kariernya, beliau merupakan pengasas kepada syarikat Wuthelam Group yang memiliki hampir 60 peratus pegangan saham dalam Nippon Paint Holdings.
BACA LAGI: Percaya konsep kongsi rezeki, bisnes Bang Joni Kopitiam tawar menu 'mesra poket' pelajar UKM
BACA LAGI: Bermula dari bilik tidur, anak muda Kota Singa kini tak menang tangan jual lampu 3D unik dan lestari

Cheng Liang juga dikenali sebagai tokoh jutawan berjaya di Singapura. — Agensi
Nilai kekayaannya kini juga dianggarkan mencecah sehingga AS$13 bilion (RM53 bilion).
Dilahirkan pada 1927, Cheng Liang membesar di dalam sebuah bilik sewa kecil di River Valley, Singapura bersama ibu bapa serta empat adik-beradiknya.
Tempat itulah kemudiannya dipilih sebagai lokasi projek hartanah paling ikonik beliau iaitu Liang Court yang dibina pada awal 1980-an.
Kawasan tersebut dibangunkan menjadi sebuah pusat beli-belah pertama di River Valley Road, kawasan yang kini terkenal sebagai pusat hiburan malam Singapura.
Menurut bekas ahli politik Ker Sin Tze yang pernah mengetuai projek Liang Court, mendiang Cheng Liang memilih River Valley bukanlah kerana nilai komersialnya.
Sebaliknya, lokasi tersebut merupakan tempatnya membesar dan mahu membangunkannya sebagai tanda menyumbangkan kembali kepada komuniti asalnya.
Kehidupan ketika Perang Dunia Kedua
Ketika Perang Dunia Kedua, beliau berpindah ke Muar, Johor dan membantu abang iparnya menjual jala ikan untuk menyara hidup.
Sempat berkongsi pengalamannya pada 1997, Cheng Liang mengimbau kembali momen bersama keluarganya.
Di saat bapanya hilang pekerjaan, ibunya terpaksa mengambil alih tugas menyara keluarga dengan mengambil upah mencuci pakaian.

Empayar bisnes Cheng Liang diwariskan kepada ahli keluarganya. — Agensi
Manakala, kakaknya pula aktif menjual makanan untuk menampung kos sara hidup mereka.
Berlalunya era peperangan, beliau kembali ke Singapura meskipun tidak pernah mendapat pendidikan formal.
Saat itulah beliau memulakan langkah dengan menjalankan perniagaan air berkarbonat namun perniagaan itu gagal.
Cheng Liang kemudiannya bekerja sebagai pembantu di sebuah kedai perkakas.
Permulaan empayar cat
Usaha demi usaha dilakukan demi mengubah nasibnya sehinggalah pada 1949, British mengadakan jualan lelong bekalan perang.
Melihat ia sebagai satu peluang besar, beliau lantas membeli beberapa tong cat yang rosak dan busuk.
Dengan hanya berbekalkan kamus bahasa Cina dan sedikit pengetahuan hasil kursus latihan di Denmark, beliau mencuba pelbagai campuran sehingga lahirlah jenama cat Pigeon Brand.
Bagaikan durian runtuh apabila sekatan import ke Singapura pada 1950 akibat Perang Korea melonjakkan lagi permintaan cat.
Selepas mendalami industri pembuatan cat di luar negara, Cheng Liang ditawarkan syarikat Nippon Paint yang asalnya dimiliki oleh pengasas Jepun untuk bekerjasama pada 1959 sebagai pengedar utama di Singapura.

Jenama Nippon Paint juga melebarkan sayapnya sehingga memasuki pasaran luar negara termasuk Malaysia. — Agensi
Goh menerima tawaran tersebut dan menubuhkan Nippon Paint South-East Asia Group (Nipsea) pada 1962.
Di bawah kepimpinannya, Nipsea berkembang pesat sehingga menjadi gergasi industri cat di rantau tersebut dengan operasinya di 28 buah negara.
Beliau sekali lagi memanfaatkan peluang besar sebagai pengedar Nippon Paint ketika krisis minyak pada 1973.
Ia sekali gus memberi keuntungan besar melalui stok berlebihan dari kilangnya yang bertempat di Indonesia.
Kejayaannya dalam industri cat secara tidak langsung membuka jalan kepada pelaburan hartanah.
Cheng Liang membangunkan Hospital Mount Elizabeth, Liang Court serta pelbagai projek kediaman dan komersial di Singapura, Hong Kong, China dan Amerika Syarikat (AS).
Disebabkan bisnesnya yang semakin maju, anak sulungnya, Goh Hup Jin mengambil alih tampuk kepimpinan pada 1980.
Wuthelam Holdings kemudiannya membeli majoriti pegangan saham dalam Nippon Paint Holdings bernilai AS$12 bilion (RM49 bilion) pada 2021.
Ia sekali gus melonjakkan nilai kekayaan keluarganya kepada AS$24 bilion (RM99 bilion).
Meskipun memiliki pelbagai aset mewah, beliau dilaporkan banyak menyalurkan hartanya kepada pusat-pusat kebajikan melalui Goh Foundation.
Sebagai individu yang pernah menghidap kanser, beliau sememangnya memberi tumpuan besar kepada penyelidikan dan rawatan penyakit tersebut.
Antara sumbangannya termasuk pembinaan Goh Cheng Liang Proton Therapy Centre dan sokongan besar terhadap National Cancer Centre Singapore (NCCS).

Bangunan Liang Court yang menjadi antara tarikan di River Valley. — Agensi
Empayar legasi bisnes
Sebelum pemergiannya, empayar bisnesnya yang mahu diwariskan sudah disusun rapi.
Dokumen pematuhan menunjukkan bahawa pada Disember 2024, pegangan dalam Nipsea International, syarikat induk Nippon Paint dipindahkan kepada enam orang cucu beliau.
Mereka kini memegang satu bilion saham bernilai lebih AS$7 bilion (RM28 bilion).
Manakala, Hup Jin sebagai anak sulung menerima satu saham utama yang memberinya 90.9 peratus kuasa mengundi serta menjadikannya penasihat utama dalam syarikat.
Dengan usia Hup Jin sekitar 70-an, beliau dapat menumpukan usaha untuk membimbing generasi ketiga seperti cucunya tanpa perlu menangani pemindahan pemilikan sekali lagi dalam masa terdekat. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
