PENDEDAHAN berlebihan pada skrin gajet sememangnya boleh menjejaskan penglihatan kanak-kanak, sekali gus meningkatkan risiko rabun pada peringkat awal.
Sama seperti situasi sedang dihadapi oleh seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun yang sudah mengalami rabun akibat penggunaan gajet tanpa kawalan.
Kisah itu juga dikongsikan ibunya dalam sesi soal jawab bersama pakar motivasi dan kesihatan mata terkenal, Datuk Prof. Dr. Muhaya Mohamad di Suria FM baru-baru ini.
BACA LAGI: Projek DIY ubah suai laman rumah jadi taman mini, tetap muat parkir kereta, motosikal

Kanak-kanak yang terdedah dengan skrin gajet terlalu lama berisiko untuk mendapat rabun. — Gambar hiasan
Menurut ibu tersebut, anaknya kini terpaksa memakai kaca mata untuk menjalani rutin hariannya.
"Saya sudah guna kaca mata kuasa kanta sebelah kiri kira-kira 600, kanan pula 800.
"Kami suami isteri tak pakai kaca mata lagi. Tetapi, saya akui mungkin kesilapan daripada pihak kami kerana pada 5 hingga 6 tahun sentiasa berinya telefon pintar.
"Tak buat apa-apa pun kami bagi gajet dan dia sudah terbiasa menghadap skrin telefon terlalu lama," luahnya.
Katanya, disebabkan rabun terlalu tinggi, anaknya terpaksa duduk di barisan hadapan ketika belajar di dalam kelas meskipun sudah memakai kaca mata.
Bimbang dengan keadaan itu, si ibu meminta pandangan dan nasihat daripada Dr. Muhaya untuk mendapatkan solusi kepada masalah tersebut.
Menjawab persoalan itu, beliau menjelaskan bahawa masalah rabun dalam kalangan kanak-kanak boleh berpunca daripada dua faktor genetik dan gaya hidup.
"Kalau mak ayah rabun, risiko anak rabun sekitar 40 peratus.
"Tetapi bagi kes sebegini, tiada faktor keturunan, sebaliknya disebabkan gaya hidup.
"Bila mata terlalu lama fokus dengan jarak yang dekat, bola mata akan memanjang dan menyebabkan rabun," jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa usia kanak-kanak bawah 12 tahun merupakan fasa pertumbuhan mata yang kritikal.
Maka, pendedahan berlebihan kepada skrin boleh menjejaskan perkembangan penglihatan mereka.
Namun, katanya, masih ada harapan untuk memperbaiki keadaan tersebut.
"Berita baik, umur 7 tahun masih ada peluang. Buat pemeriksaan dengan pakar mata untuk tentukan kuasa kanta tepat dan elak mata malas," sarannya.
Beliau turut memperkenalkan satu kaedah rawatan moden dikenali sebagai Ortho-K atau Orthokeratologi yang memerlukan penggunaan kanta lekap khas dipakai ketika tidur untuk membantu membetulkan bentuk kornea buat sementara waktu.
"Anak pakai kanta keras waktu malam dan tidur.
"Bila bangun pagi, kuasanya hampir kosong dan boleh ke sekolah tanpa cermin mata.
"Tetapi kesannya sementara. Bila cukup umur 18 tahun, boleh buat rawatan laser kekal," cadangnya.
Menurut beliau, prosedur rawatan laser mata kini semakin mudah dan cepat serta hanya mengambil masa sekitar dua minit bagi setiap mata.
"Prosedur sekarang sangat selamat dan berkesan. Yang penting, ibu bapa kena pantau penggunaan gajet anak-anak sejak kecil," pesannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
