MEMPUNYAI semangat dan impian besar dalam dunia perniagaan, usahawan muda, Mohamad Aqil Ameerel Ramdan tampil dengan pendekatan berbeza.
Bagi lelaki berusia 28 tahun itu, perniagaannya dijadikan sebagai pembuka jalan dan rezeki bukan hanya untuk diri sendiri, malah kepada masyarakat.
Dahulunya menjadi individu pertama membina jenama RotiWap sehingga menjadi fenomena dalam kalangan pengusaha makanan di seluruh Malaysia.
BACA LAGI: Bermula dari bilik tidur, anak muda Kota Singa kini tak menang tangan jual lampu 3D unik dan lestari

Aqil memulakan langkahnya dalam dunia perniagaan pada 2022.
Mula menapak dalam pasaran pada 2022, Mohamad Aqil atau mesra disapa Aqil mengambil keputusan untuk mengubah haluannya pada akhir 2024.
"Saya adalah pengasas pertama cipta nama dan produk RotiWap di Malaysia ketika itu.
"Saya juga jual tepi jalan di Bangi, Selangor sambil kembangkan nama di platform media sosial.
"Tetapi selepas dua tahun saya pilih untuk tidak teruskan lagi sebab dah terlalu ramai guna nama ini sehingga beri kesan buruk kepada perniagaan saya," katanya kepada Majoriti.
Bukan kerana gagal atau tiada keuntungan, tetapi demi kesalamatan syarikat, Aqil terpaksa menyerahkan perniagaan RotiWap kepada pihak lain.
Menurutnya, pelbagai percubaan sudah dilakukan demi mendapatkan hak cipta dan lesen untuk jenama terbabit, namun tidak berjaya.

Perniagaan pertama Aqil yang mencetuskan fenomena makanan di Malaysia.
Bisnes 'mesra poket' pelajar
Bangkit semula dengan semangat baharu, Aqil meneruskan perjuangan bisnesnya menerusi jenama Bang Joni Kopitiam.
Di kala ramai pelajar terutama penuntut universiti terpaksa mengikat perut, graduan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu muncul dengan inisiatif baharu.
"Idea itu asalnya saya bentangkan di hadapan 400 usahawan dan seorang daripadanya adalah pengasas minuman susu Farm Fresh.
"Matlamat saya memang nak bantu pelajar supaya mereka dapat beli makan dan minum dengan harga yang murah tetapi sedap.
"Bila saya buat tinjauan di media sosial, saya terkejut bila ramai pelajar terpaksa catu duit untuk makan di kolej.
"Rata-ratanya hanya mampu belanja RM3 ke RM6 sehari untuk makan dan ada juga makan sekali sehari sahaja.
"Jadi, muncul lagi idea untuk saya keluarkan menu Nasi Kenangan yang berharga serendah RM4.70.
"Untuk menu ini saya tawarkan beberapa pilihan iaitu, nasi bersama lauk ayam goreng rangup dan nasi ayam berlada dan setiap daripadanya disertakan dengan telur," jelasnya.

Nasi Kenangan menjadi menu istimewa buat para pelajar UKM.
Bak kata pepatah, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain, penerima anugerah Ikon Pelajar UKM 2020 dan Alumni Terbilang UKM 2024 itu mengambil langkah untuk memulakan bisnes kecilnya di dalam Kolej Pendeta Za'ba, UKM.
Namun, apa yang menjadikan Nasi Kenangan lebih istimewa bukan sekadar harganya, tetapi nilai sosial di sebaliknya.
Konsep kongsi rezeki
Di dalam setiap bungkusan nasi yang dijual, Aqil memperuntukkan 5 peratus komisen kepada mana-mana pelajar yang membantu menjualnya di kolej dan blok kediaman.
"Saya tahu margin untung sangat kecil, tetapi saya percaya pada konsep kongsi rezeki.
"Saya nak buka peluang kepada pelajar yang nak jana pendapatan sambil belajar," ujarnya.
Melalui sistem ini, pelajar bukan sekadar mendapat duit poket tambahan, malah menimba ilmu serta pengalaman sebenar dalam bidang perniagaan.

Bang Joni Kopitiam beroperasi sepenuhnya di UKM.
Kini, projek Nasi Kenangan di UKM menjadi sasaran utamanya kepada perancangannya yang lebih besar.
Aqil turut menyasarkan untuk mengembangkan bisnesnya di universiti lain di sekitar Lembah Klang sebelum meluaskan cawangan ke zon Selatan, Utara termasuk Sabah dan Sarawak.
Ditanya pula tentang minatnya dalam industri makanan dan minuman, Aqil mengakui bahawa dia tidak memiliki sebarang kemahiran memasak.
"Sebenarnya satu masakan pun saya tak pandai. Bagi saya, ia tentang sesuatu idea untuk kita bawa dalam perniagaan.
"Macam RotiWap, saya bawakan kelainan yang orang lain tak pernah buat dan jual.
"Kalau sekarang, saya pilih untuk bantu pelajar universiti dan yakin akan bertahan lebih lama berbanding perniagaan dahulu.
"Untuk Bang Joni Kopitiam, saya minta khidmat daripada kenalan yang mahir memasak untuk olah hidangan dan menariknya setiap lauk kami lalui proses retort atau penstrilan bagi pastikan kualiti rasanya sama," katanya.
Meskipun tiada asas dan ilmu yang lengkap untuk memulakan perniagaan, Aqil berusaha mendapatkan setiap tunjuk ajar daripada usahawan berpengalaman. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
