'Lebih kerap, lebih luas', pengunjung Jelajah Sawit Hijau MPOGCF mahu program didik-hibur diteruskan setiap tahun


  • Massa
  • Ahad, 17 Ogos 2025

Pengunjung bersama anak-anak didedahkan tentang peranan MPOGCF menjaga hidupan liar.

SEBELUM datang ke Mayang Mall di Kuala Terengganu, Terengganul, ada pengunjung yang tidak tahu bunga sawit ada jantan dan betina, cara pergerakan gajah liar dikesan atau bagaimana spesies burung terancam dilindungi.

Ada juga kurang peka tentang kewujudan pihak seperti Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) bersama rakan strategik menjalankan pelbagai inisiatif memastikan hidupan liar dan alam sekitar tidak terjejas kerana industri sawit.

Sebagai pengeluar kedua terbesar sawit mentah di dunia, ada pengunjung tidak tahu banyak cabaran yang perlu dihadapi pemain industri termasuk pekebun kecil untuk melindungi haiwan dan alam sekitar ketika mengusahakan tanaman.

BACA LAGI:Jelajah Sawit Hijau makin meriah, konsep 'edutainment' MPOGCF, Harimau Malaya pikat rakyat Terengganu

BACA LAGI: Siapa kata industri sawit tak mesra alam?

Malah generasi baharu mungkin kurang pendedahan tentang betapa sawit Malaysia menjadi perhatian negara Barat yang mendakwa kononnya tanaman itu merosakkan flora dan fauna.

Namun persepsi negatif itu semakin terhakis dengan wujudnya program Jelajah Sawit Hijau MPOGCF yang kini memasuki siri kedua di Terengganu bagi memberi peluang rakyat negeri itu mengetahui betapa Malaysia mengambil berat tentang pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar dan hidupan liar.

Bersama-sama Suria FM dan portal Majoriti, Vertikal Melayu milik Star Media Group, rakyat Malaysia kini semakin celik mata tentang kepentingan industri sawit terhadap negara dan tidak lagi termakan dengan kritikan negara luar terhadap komoditi itu.

Ribuan pengunjung hadir memeriahkan siri kedua Jelakaj Sawit Hijau MPOGCF di Mayang Mall, Terengganu.

Malah mereka juga mengharapkan agar program itu diadakan lebih kerap agar setiap lapisan masyarakat, lebih-lebih lagi generasi baharu, peka tentang alam sekitar dan hidupan liar di negara ini yang sentiasa dilindungi.

Seperti disuarakan pengunjung berpengalaman, Norazeli Muda dari Dungun, dia berharap program jelajah ini dapat diadakan dengan lebih kerap di seluruh negara tidak kira di daerah kecil atau besar.

Tiba seawal 8 pagi selepas mendapat tahu hebahan program itu menerusi radio Suria FM, Norazeli mengakui dia berasa seronok dengan aktiviti yang dijalankan dalam siri jejalah itu walaupun bagi dirinya yang sudah berusia 52 tahun.

"Saya sendiri menang kuiz berkaitan dengan industri sawit, jadi program ini sangat bagus dan menarik untuk kita pelajari ilmu dengan cara bersantai.

"Program ini patut diadakan di semua tempat dan di seluruh Malaysia sebab seluruh rakyat Malaysia boleh tahu pentingnya sawit untuk ekonomi negara.

Norazeli

"Kita juga boleh tunjuk kepada 'orang putih' (negara Barat) bahawa sawit bagus dan salah satu produk negara yang tidak menjejaskan alam sekitar atau hidupan liar.

"Elok adakan program ini enam bulan sekali supaya masyarakat kita sentiasa ingat dan buat di daerah kecil dan besar kerana anak-anak muda juga perlu didedahkan kepentingan industri sawit dan pada masa sama cara menjaga alam sekitar," katanya yang juga merupakan pekerja swasta dan pernah terlibat dalam tanaman sawit.

Antara pengunjung paling muda, Qaysul Iman Ahmad Puad mengakui dia tidak tahu apa-apa tentang industri sawit sebelum datang ke program tersebut.

Malah dia juga mengakui tarikan yang ada seperti kehadiran penyampai Suria FM iaitu Ajak Shiro dan artis lain, membuatkan hatinya berminat untuk datang sambil mendalami ilmu sawit, alam sekitar dan hidupan liar.

Iman

"Sebelum ni saya tak tahu tentang MPOGCF tapi hari ini saya belajar tentang sawit dan alam sekitar di Malaysia yang dijaga oleh banyak pihak.

"Saya harap program ini diadakan setiap tahun, bukan sebab hiburan tapi ada ilmu yang dikongsikan buat masyarakat terutamanya anak-anak muda seperti saya," katanya yang merupakan seorang pelajar berasal dari Selangor tetapi menetap di Terengganu.

Tentang kritikan orang luar terhadap isu kerosakan alam sekitar, wanita muda dari Kemaman, Zawin Najah Napatah antara paling lantang membidas persepsi negatif tersebut.

Dia sendiri mengakui mempunyai pengetahuan asas tentang tanaman sawit termasuk pihak yang terlibat dalam industri itu iaitu Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) selain MPOGFC.

"Saya pernah dengar tentang MPOB tapi MPOGCF ini agak baharu untuk saya dan kini saya sudah tahu peranan yayasan itu yang banyak melaksanakan dan menyokong usaha pemuliharaan flora dan fauna.

"Dengan adanya MPOGCF ini, saya rasa kita boleh dapat fakta lebih banyak untuk balas kritikan orang luar terhadap industri sawit kita sebab mereka ada inisiatif untuk bantu peliharan alam sekitar dan haiwan," kata pekerja swasta berusia 28 tahun itu.

Zawin

Malah Zawin juga sedia membalas kritikan jika ada pihak cuba memburukkan industri sawit Malaysia.

"Tak betul jika mereka (orang luar) kata sawit kita merosakkan alam sekitar.

"Kenapa dia (sawit) merosakkan alam sekitar, sedangkan ia adalah tanaman. Kedua, tandan sawit tu, macam-macam kita boleh buat, bukan dengan minyak sahaja tapi produk kosmetik juga. 

"Industri sawit juga bagus untuk ekonomi kita dan buka peluang kepada anak tempatan untuk ceburi bidang pertanian tanaman ini," katanya.

Siri kedua Jelajah Sawit Hijau MPOGCF mendapat sambutan luar biasa di Terengganu pada Sabtu selepas siri jelajah pertama  berlangsung di Alor Setar, Kedah pada 24 Mei lalu.

Sama seperti di Kedah, siri kedua Jelajah Sawit Hijau MPOGCF juga membawakan sesi podcast bersama pihak MPOGCF, Felda, MPOB, NEST, TDM dan Jabatan Perhilitan serta sesi beramah mesra dengan penyampai radio Suria FM bersama Ajak, Khai dan Irsyad.

Kemuncaknya, kemunculan artis ternama seperti Khai Bahar, Tajul, Sufian Suhaimi dan Syafiq Farhain menghiburkan pengunjung sambil menyampaikan mesej yang menyokong usaha pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar serta hidupan liar.

Selepas ini, Jelajah Sawit Hijau MPOGCF akan menemukan penduduk di Johor dan Kuala Lumpur dengan menawarkan pengalaman yang lebih menarik seperti permainan realiti tambahan (augmented reality), format kuiz yang dipertingkatkan seperti Kahoot!, serta hadiah-hadiah menarik.

Kandungan pameran juga akan diperkaya dengan permainan memori dan elemen AR yang direka khusus untuk memastikan pengalaman yang menyeronokkan dan bermakna.

Siri jelajah kemuncak di Kuala Lumpur pula akan diserikan dengan kehadiran tetamu kenamaan iaitu seorang ahli Kabinet, sekali gus menegaskan kepentingan kempen ini pada peringkat nasional. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram