USIA bukanlah penentu kejayaan seseorang. Baru berumur 20 tahun, Jovi Lim sudah mampu membina jenamanya sendiri dalam industri pembuatan dan rekaan lampu moden di Singapura.
Bermula dengan hanya satu pencetak 3 Dimensi (3D) di bilik tidurnya, pengasas jenama Sonogo itu menghasilkan pelbagai reka bentuk lampu yang unik dan mesra alam.
Segalanya bermula pada 2024 apabila Jovi menggunakan wang simpanan hasil elaun latihan industrinya untuk membeli sebuah pencetak 3D.

Jovi berjaya mengusahakan perniagaannya pada usia muda. — Agensi
Tanpa bimbingan formal, graduan Politeknik Singapura itu nekad untuk menimba ilmu sendiri.
Daripada motif, reka bentuk hingga kemahiran perisian 3D seperti Fusion 360, dia hanya belajar melalui video YouTube.
"Saya mulakan hanya untuk suka-suka. Saya hasilkan pemegang berus gigi dan tempat letak kad.
"Kemudian, saya cuba hasilkan lampu dan sejak itu saya rasa inilah sesuatu yang saya mahu teruskan," katanya.
Rekaannya yang pertama, Haju Lamp diinspirasikan daripada tanglung kertas Jepun.
Namun, untuk mendapatkan hasil yang memuaskan, Jovi perlu melalui tujuh versi prototaip.
Kini, selepas beberapa bulan pengalaman dan tempoh pembelajaran, Jovi hanya memerlukan dua atau tiga percubaan iaitu sekitar dua bulan untuk menyiapkan rekaan baharu.

Setiap rekaan lampunya mempunyai makna tersendiri. — Agensi
Detik berharga
"Saya masih ingat ketika jualan pertama. Laman web saya berbunyi dan bila semak, pembelinya bukan kawan atau keluarga, tetapi orang yang saya tak kenal langsung.
"Saya terus melompat kegembiraan dan beritahu ibu," ujarnya.
Ketika itu, Jovi masih bergelar pelajar tahun akhir pengajian.
Menurutnya, menjalankan perniagaan sambil belajar bukan perkara mudah.
Justeru, Jovi mengambil keputusan untuk memperkenalkan sistem jualan secara dalam talian.
Perniagaan Jovi hanya beroperasi pada waktu tertentu untuk menerima tempahan sebelum pesanan dihasilkan dihantar kepada pelanggan.

Jovi menghasilkan lampu bermula dari bilik tidurnya. — Agensi
Keistimewaan Sonogo
Kata Jovi, apa yang membezakan Sonogo daripada jenama lain adalah sentuhan peribadi dalam setiap rekaan.
"Setiap lampu ada ceritanya sendiri. Ada yang diinspirasikan bulan sabit dan rantai yang dihadiahkan seseorang kepada saya.
"Saya tidak buat bentuk rawak kerana semuanya perlu ada makna," jelasnya.
Jovi juga melakukan keseluruhan proses sendirian, bermula daripada lakaran, prototaip, percetakan 3D hingga pembungkusan dan penghantaran.
Baginya, setiap pelanggan bukanlah sekadar membeli produk, tetapi menjadi sebahagian daripada perjalanan kreatifnya.
Reka bentuk mesra alam
Selain elemen estetika, kelestarian alam sekitar turut menjadi prinsip utama dalam jenama Sonogo.
Setiap lampu diperbuat daripada bahan Asid Polilaktik (PLA), sejenis bahan polimer berasaskan tumbuhan seperti kanji jagung dan tebu yang boleh dikitar semula atau terurai secara semula jadi.
"Dunia sekarang semakin panas. Saya rasa sudah tiba masanya kita lebih serius tentang gaya hidup lestari," ujarnya.
Daripada sebuah bilik kecil dengan satu pencetak 3D kini, lebih 350 unit lampu Sonogo terjual. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
