Jelajah Sawit Hijau makin meriah, konsep 'edutainment' MPOGCF, Harimau Malaya pikat rakyat Terengganu


  • Massa
  • Sabtu, 16 Ogos 2025

Jelajah Sawit Hijau anjuran MPOGCF semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.

MOMENTUM program Jelajah Sawit Hijau Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) semakin meriah apabila siri keduanya mendapat sambutan luar biasa di Mayang Mall, Kuala Terengganu, Terengganu pada Sabtu.

Siri kedua ini adalah kesinambungan siri jelajah pertama di Alor Setar, Kedah pada 24 Mei lalu yang dibawakan dengan kerjasama Suria FM dan portal Majoriti, Vertikal Melayu milik Star Media Group, berkonsepkan gabungan elemen pendidikan dan hiburan atau ‘edutainment’.

Seawal 10 pagi lagi, ruangan centre court Mayang Mall sudah dipenuhi pengunjung untuk menyertai pelbagai aktiviti istimewa siri jelahan ini dengan tagline, Konservasi Kunci Sawit Mampan, yang dibawakan khas kepada penduduk Terengganu dari pelbagai peringkat usia dan latar belakang.

BACA LAGI:'You will never walk alone', kempen Justice for Zara tersebar hingga ke Anfield

BACA LAGI:[VIDEO] Berehat atau hentikan rutin akan penuhi hasrat pihak cuba menakut-nakutkan saya — Rafizi

Siri jelajah turut dimeriahkan dengan pertandingan mewarna yang disertai pengunjung cilik pelbagai peringkat umur. 

Bermula dengan aktiviti mewarna bagi kanak-kanak, suasana di Mayang Mall diserikan dengan kepetahan penyampai radio dan juga pengacara majlis,Afiq dan Awien dari Suria FM memberi pendedahan tentang inisiatif pemuliharaan alam sekitar yang dijalankan industri sawit negara daripada pihak MPOGCF dan rakan strategik yang lain.

Ketika si anak khusyuk mewarna gambar harimau, gajah dan orang utan, ibu dan bapa mereka mengambil peluang untuk mendalami pengetahuan tentang industri sawit negara terutamanya tentang kelestarian yang diusahakan dalam menjaga alam sekitar.

MPOGCF misalnya, memberi pendedahan mendalam tentang buah sawit termasuk dari peringkat awal ia berbunga sehinggalah diproses menjadi produk akhir seperti minyak sawit, fiber dan jem berperisa sawit madu.

Tidak setakat itu, pengunjung juga berpeluang mengenali The Other Malaysians iaitu spesies haiwan terancam seperti Harimau Malaya, gajah dan Orang Utan yang sentiasa menjadi perhatian MPOGCF untuk melindungi hidupan liar itu.

Menariknya, cara maklumat itu disampaikan menerusi acara permainan cari pasangan gambar dan Mampan Spin untuk memastikan pengunjung bukan sekadar bermain tetapi memahami kepentingan melindungi spesies terancam itu.

Rakan strategik MPOGCFseperti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) juga tampil dengan kuiz untuk menguji pengetahuan pengunjung tentang industri sawit Malaysia manakala TDM Plantation Sdn Bhd (TDMP), anak syarikat bahagian perladangan TDM Berhad memberi pendedahan kepada hadirin mengenai kepentingan usaha penjagaan sungai dan perlindungan gajah liar di Terengganu.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) masing-masing menawarkan pengalaman berkonsepkan pameran kepada pengunjung.

Sama seperti di Kedah, siri kedua Jelajah Sawit Hijau MPOGCFjuga membawakan sesi podcast bersama pihak MPOGCF, FELDA, MPOB, NEST, TDM dan Jabatan Perhilitan dan sesi beramah mesra dengan penyampai radio Suria FM bersama Ajak, Khai dan Irsyad.

Kemuncaknya, kemunculan artis seperti Khai Bahar, Tajul, Sufian Suhaimi dan Syafiq Farhain tampil untuk menghiburkan pengunjung sambil menyampaikan mesej yang menyokong usaha pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar serta hidupan liar

Siri Jelajah Sawit di Terengganu menumpukan kepada Harimau Malaya sebagai fokus utama.

Mengangkat Harimau Malaya sebagai fokus pada siri kali ini, Pengurus Besar MPOGCF, Hairulazim Mahmud berkata, Terengganu dipilih sebagai lokasi program kerana negeri itu masih mempunyai populasi Harimau Malaya.

"Kalau di Semenanjung, Terengganu adalah antara negeri yang ada spesies Harimau Malaya.

"Habitatnya ada di sini, bilangannya juga cukup dan stabil," katanya kepada Majoriti ketika ditemui di jelajah tersebut pada Sabtu.

Tambah beliau, pemilihan Harimau Malaya sebagai fokus adalah disebabkan ia merupakan ikon haiwan yang menjadi identiti Malaysia selain ia merupakan spesis haiwan di bawah pantauan MPOGCF bersama Perhilitan.

Mengulas lanjut mengenai salah tanggapan terhadap Harimau Malaya, beliau berkata, masih ramai yang beranggapan spesies itu menjadi ancaman kepada manusia.

Namun jelasnya, persepsi tersebut tidak tepat kerana Harimau Malaya sebenarnya hanya bertindak balas apabila berasa terancam.

“Yang paling penting, kita perlu faham bahawa kewujudan mereka melengkapkan ekosistem.

"Jika hidupan ini hilang, keseimbangan alam akan terganggu sekali gus memberi kesan kepada kehidupan manusia pada masa hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai sambutan pengunjung yang dianggap tidak kurang hebatnya seperti di Kedah.

Akuinya, pihak beliau juga bimbang jika siri jelajah kali ini tidak menerima sambutan berikutan pusat beli- belah berkenaan baru dibuka kira-kira dua minggu lepas.

"Sambutan kami tengok hari ini (Sabtu) meriah, ramai yang hadir. Saya bimbang sebenarnya sebab Mayang Mall ini adalah pusat beli-belah baharu.

Tetapi Alhamdulillah, sambutan pun tak lebih kurangnya sama hebat macam di Alor Setar," jelasnya sambil menzahirkan ucapan penghargaan buat penduduk di negeri Sang Penyuituyang hadir memeriahkan program berkenaan.

Menyentuh mengenai kelompok sasaran siri jelajah tersebut, beliau menegaskan usaha konservasi tidak hanya ditumpukan kepada golongan kanak-kanak semata. Sebaliknya, generasi Z, Ydan Alpha turut sama terlibat.

“Semua peringkat umur adalah penting untuk kita sama-sama melaksanakan usaha konservasi," katanya.

Selepas ini, Jelajah Sawit Hijau MPOGCF akan menemukan penduduk diJohor dan Kuala Lumpur dengan menawarkanpengalaman yang lebih menarik dengan permainan realiti tambahan (augmented reality), format kuiz yang dipertingkatkan seperti Kahoot!, serta hadiah-hadiah menarik.

Kandungan pameran juga akan diperkaya dengan permainan memori dan elemen AR yang direka khusus untuk memastikan pengalaman yang menyeronokkan dan bermakna.

Siri jelajah kemuncak di Kuala Lumpur pula akan diserikan dengan kehadiran tetamu kenamaan iaitu seorang ahli Kabinet, sekali gus menegaskan kepentingan kempen ini pada peringkat nasional.—Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram