[VIDEO] Pili bomba tak berfungsi, sumber air terhad sukarkan bomba padam kebakaran bangunan 8 bilik di SK Padang Melangit


  • Kes
  • Khamis, 13 Nov 2025

Bangunan yang menempatkan lapan bilik, termasuk stor dan bilik seni terbakar 90 peratus dalam insiden terbabit. — Facebook/Azizul Bin Mokhtar

PERASAAN cemas dialami warga pendidik dan murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Melangit di Padang Besar, Perlis apabila sebuah bangunan lapan bilik musnah hampir 90 peratus dalam satu kebakaran pada Khamis.

Menurut laporan Harian Metro, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis, Mohamad Azhar Yussof berkata, insiden itu menyebabkan seorang pekerja kebersihan swasta cedera melecur 30 peratus

"Kebakaran melibatkan bangunan sekolah yang mempunyai lapan bilik termasuk stor, bilik seni, bilik reka bentuk dan teknologi (RBT) serta bilik kesihatan. 

BACA LAGI: [VIDEO] Sekolah rendah terbakar ketika murid sedang tidur, 17 rentung sampai mayat tak boleh dicam

BACA LAGI: Asrama lelaki Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu terbakar kali kedua

"Api dipercayai bermula dari bilik stor sebelum merebak ke bilik lain bersebelahan," katanya kepada media yang ditemui di lokasi kejadian.

Mohamad Azhar berkata, operasi pemadaman melibatkan anggota dari Balai Bomba Padang Besar, Kangar dan Arau serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dengan kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya kira-kira sejam kemudian.

"Operasi sedikit sukar pada peringkat awal kerana sumber air terhad dan pili bomba berhampiran tidak berfungsi menyebabkan pasukan terpaksa menggunakan air dari kolam berdekatan sebelum bantuan tangki tiba," katanya yang turut memaklumkan punca kejadian dan kerugian masih dalam siasatan.

Dia turut memaklumkan pekerja kebersihan yang merupakan lelaki berusia 29 tahun itu melecur pada belakang paha, namun mangsa dalam keadaan stabil dan dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar untuk rawatan lanjut.

Keadaan bangunan berkenaan selepas pihak bomba berjaya mengawal kebakaran. Facebook/Faizal King

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Perlis, Rose Aza Che Arifin berkata, kesemua 192 murid dan 18 guru sekolah tersebut selamat dan dipindahkan ke dewan sebaik sahaja kebakaran dikesan.

"Bangunan yang terbakar ini sebenarnya dirancang untuk dinaik taraf sebagai blok Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) pada tahun depan tetapi disebabkan kejadian ini, kita akan menilai semula keperluan untuk menyediakan kemudahan yang lebih kondusif," katanya.

Rose Aza berkata, sekolah akan beroperasi seperti biasa pada Jumaat memandangkan bilik darjah tidak terjejas dengan kebakaran selain turut merakamkan penghargaan kepada pasukan bomba yang bertindak pantas memadamkan kebakaran serta memastikan keselamatan warga sekolah terjamin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram