TIGA lelaki yang merupakan warga Malaysia, Britain dan Filipina maut manakala tiga lagi parah selepas sebuah kontena di atas kapal MSC Kyparissia terbakar di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dekat Iskandar Puteri, Johor pada Jumaat.
Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Pegawai Bomba Kanan I Mohamad Anuar Mohamad Amdzah, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 12.23 tengah hari
"Sembilan anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender FRT dan sebuah kenderaan utiliti dikerahkan ke tempat kejadian.
BACA LAGI : [VIDEO] 'Anak demam tak boleh tidur', bapa kesal individu main telefon kuat-kuat dalam wad walau dah ditegur
"Pasukan BBP Iskandar Puteri tiba di lokasi pada pukul 12.40 tengah hari.
"Siasatan mendapati kebakaran berlaku ketika kerja-kerja pemunggahan kontena dijalankan di bahagian bawah geladak (under hatch) Blok 5," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambah beliau lagi, kejadian itu melibatkan enam mangsa. Tiga maut terdiri daripada lelaki Malaysia berusia 59 tahun, lelaki Filipina (40-an) dan lelaki Britain (40-an).
"Tiga lagi cedera iaitu lelaki Malaysia (26) dan dua lelaki Filipina (40-an), mereka dihantar ke Hospital Gleneagles Iskandar Puteri oleh ambulans PTP.
"Pemadaman awal dilakukan oleh bomba PTP menggunakan dua tug boat, dibantu kerja-kerja unloading oleh Quay 118,” ujarnya.
Pihak bomba katanya, membuka Pos Kawalan Hadapan (PKH) dan operasi masih dijalankan dengan kerjasama pihak PTP sehingga kini.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M.Kumarasan dalam satu kenyataan ringkas turut mengesahkan kejadian terbabit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
